Anda di sini

Skuad boling padang buru tiga emas

Advertisement

KUCHING: Tiga pingat emas menjadi idaman skuad boling padang Sarawak pada SUKMA XVII yang akan berlangsung dari 25 Mei hingga 3 Jun 2014 di Kangar, Perlis.

Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin yang melawat persediaan skuad Sarawak di Kompleks Stadium Sarawak, Petra Jaya semalam berkata kontinjen negeri akan menyertai lapan disiplin.

“Skuad boling padang akan menyertai lapan kategori pada temasya kali ini dan saya berharap atlet mampu menghadiahkan pingat emas untuk negeri,” katanya semalam.

Hadir sama Presiden Persatuan Boling Padang Sarawak (SALBA) Awang Mahyan Awang Mohamad, Setiausaha Buang Asin dan Bendahari Abdillah Zain.

Acara yang akan disertai Sarawak adalah perseorangan lelaki dan wanita, berdua, bertiga dan berempat.

“Skuad boling padang juga telah mencapai keputusan positif pada Kejohanan Pra- Sukma di Kangar, Perlis yang diadakan pada 16-22 Mac dan Kejohanan Perseorangan Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 4-6 April lalu.

“Ia petanda baik bagi kita dan saya berharap prestasi cemerlang ini dapat dikekalkan pada kejohanan kelak,” tambahnya.

Pada Kejohanan Pra-Sukma, Sarawak menggondol satu perak dan lima gangsa.

Pada edisi kali ini, Sarawak meletakkan harapan di bahu 12 atlet (enam lelaki dan enam wanita) untuk memburu tiga emas.

Mereka ialah Mohd Fairus Abg Deni, Frinky Jilan, Abdul Rahman Amminudin, Syed Iqmaludina Wan Azman, Yusuf Amminuddin, Mohd Samsulaiman Yakub dan Abg Mohd Haziq Aziz Abg Mustapha (simpanan).

Manakala atlet wanita Nur Fithri Yaani Hamdin, Nur Fitri Rosmadi, Nur Fitrah Rosmadi, Syarifah Syaza Nisrina Mumtaz Wan Zamaluddin, Nur Haninah Humaira Zaffrullah dan Nur Aryan Bujang (simpanan).

Empat daripada mereka pernah bersaing pada SUKMA 2012 di Pahang iaitu Mohd Fairus Abd Deni, Syed Iqmaludina Wan Azman, Yusuf Amminuddin dan Nur Haninah Humaira Zaffrullah.

Sementara itu, Awang Mahyan berkata Sarawak meletakkan sasaran untuk memungut pingat emas dalam acara perseorangan lelaki/ wanita dan bertiga lelaki.

Pada SUKMA 2012, Sarawak meraih dua gangsa dalam acara bertiga lelaki dan berempat wanita.

Manakala pada SUKMA di Sabah dan Terengganu, Sarawak ditabalkan juara keseluruhan.

Skuad boling padang dilatih oleh Nurul Asma Sani, Mohammad Nurarmizam Johari, Hamimah Sejili dan Saiful Adli Sami.

Advertisement