Anda di sini

Dadah: Wanita dari China dicekup

Advertisement

DIBERKAS: Madang (tengah) menunjukkan pasport yang dirampas daripada suspek pada sidang media di Pusat Sehenti Polis, Bintulu semalam.

BINTULU: Seorang wanita warganegara China berusia 47 tahun diberkas polis dalam serbuan ke atas bilik penginapannya di Taman Sri Dagang kelmarin kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan dadah di sini.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Madang Usat berkata, hasil pemeriksaan lanjut di bilik suspek, pihak polis menemui satu peket plastik lutsinar mengandungi dadah syabu seberat 18.5 gram termasuk pelbagai dokumen peribadi suspek, satu mesin pengiraan duit, anak-anak kunci dan wang tunai berjumlah RM520.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan tujuh kali sebatan,” ujarnya pada sidang media di Pusat Sehenti Polis semalam.

Beliau berkata, suspek yang berada di sini menggunakan pas lawatan sosial turut disiasat di bawah Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya 1952 (Perlucutan Hak Harta) 1988.

“Semua barang dan apa sahaja aset milik suspek yang diperolehi melalui hasil penjualan atau pembelian dadah akan ditahan dan disita,” tegasnya.

Ujarnya, suspek kini ditahan reman empat hari dan hasil daripada maklumat pasport suspek, dia berulang-alik ke Bintulu sejak tahun 2009 dari negaranya.

“Kami sedang menyiasat sama ada suspek terlibat dalam pengedaran dadah ataupun tidak,” jelasnya sambil menambah harga pasaranenam peket dadah dengan berat 18.5 gram yang dirampas itu bernilai RM8,000.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek telah melakukan empat transaksi di sebuah bank di sini yang dipercayai berkaitan dengan kegiatannya.

Dalam pada itu, Madang berkata, operasi pemeriksaan terhadap pendatang yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah akan terus dipergiatkan.

Susulan itu, katanya, pihak polis telah membuat pemeriksaan di dua tempat di bahagian ini antara restoran makanan dan sekitar bandar Bintulu.

Dalam pemeriksaan itu, katanya, polis telah menahan 17 warga asing berumur 30-an yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan mereka kini dalam tahanan polis selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

Advertisement