Anda di sini

Kedah sokong tindakan tatatertib terhadap pegawai MPSPK, MPKK

Advertisement

ALOR SETAR: Kerajaan negeri menyokong saranan Ketua Audit Negara supaya pegawai di dua Majlis Perbandaran dikenakan tindakan tatatertib sekiranya terbukti mereka melanggar peraturan perolehan secara pembelian terus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrol Hisham Hashim berkata tindakan sedemikian boleh mengekang berlakunya kesilapan yang sama berulang pada masa hadapan.

“Penjawat awam tidak seharusnya menyalah guna kuasa dan sepatutnya menjalankan urusan seperti yang ditetapkan. Saya amat berharap supaya imej penjawat awam tidak tercemar hanya kerana tindakan segelintir daripada mereka yang tidak mengikut peraturan dan berharap kejadian ini tidak berulang,” katanya.

Badrol Hisham yang dihubungi Bernama berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013, Siri 1, yang menyarankan agar Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai yang terbukti tidak mengikut peraturan dalam pembelian secara terus.

Laporan itu menyatakan terdapat tindakan memecah kecil perolehan yang dibuat secara pembelian terus bagi mengelak sebut harga dan ia adalah bertentangan dengan peraturan kewangan kecuali mendapat kelulusan Pegawai Kewangan Negeri.

Arahan Perbendaharaan (AP) menyatakan perolehan bekalan melebihi RM50,000 hingga RM500,000 setahun perlu dipelawa secara sebut harga manakala bekalan bagi setiap item sehingga RM50,000 setahun boleh dibuat secara pembelian terus.

“Semakan audit mendapati 23 daripada 250 sampel tidak mengikut prosedur yang ditetapkan iaitu perolehan bagi membekal pakaian sera-gam bagi 2012 berjumlah RM53,150, beg cenderahati bagi pembayar cukai pintu 2013 berjumlah RM144,360, pembelian toner bagi 2013 berjumlah RM92,447 dibuat secara pembelian terus di MPSPK.

“Sebanyak 38 daripada 100 sampel perolehan berjumlah RM133,900 dibuat secara pembelian terus bagi membekal toner dakwat bagi 2013 di MPKK. Perolehan itu sepatutnya dibuat secara sebut harga dan bukannya secara pembelian terus memandangkan nilainya melebihi RM50,000,” kata laporan itu.

Sementara itu menerusi laporan sama mengenai projek membaik pulih dan menaik taraf Jalan Alor Setar-Kuala Nerang-Durian Burung yang mengalami peningkatan kos, Badrol Hisham berkata pihaknya juga akan mengambil kira pandangan yang diberikan demi keselesaan rakyat.

Katanya masalah itu berlaku ekoran kesukaran peng-ambilan tanah dan harga pampasan yang tidak dipersetujui pemilik tanah.

Badrol Hisham berkata proses pampasan juga meng-ambil masa yang lama dan ia turut memberi kesan kepada projek terbabit. — Bernama

Advertisement