Anda di sini

14 anggota polis sertai kursus integriti positif dadah

Advertisement

BERLEPAS: Acryl (kiri) melepaskan konvoi bermotosikal dalam Program Kembara Bermotosikal Trafik Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Ipoh, semalam. — Gambar Bernama

Tindakan disiplin boleh ke tahap diberhentikan kerja

IPOH: Seramai 14 anggota polis didapati positif dadah selepas ujian air kencing dijalankan semasa kursus pemantapan integriti di Ulu Kenas, Kuala Kangsar, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata bagaimanapun sampel ujian akan dihantar ke hospital untuk pengesahan sebelum sebarang tindakan diambil.

“Sekiranya disahkan benar mereka akan berhadapan tindakan disiplin dan ia boleh sehingga ke tahap diberhentikan daripada perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kembara Komuniti Bermotosikal Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, semalam.

Ujian dilakukan pada 6 dan 7 April lepas ke atas kesemua 87 peserta kursus yang terdiri daripada anggota polis berpangkat rendah dari seluruh negara.

Menurut Acryl, ujian rambang dilakukan dari semasa ke semasa terhadap anggota polis bagi mengelak mereka daripada terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Ingin saya tegaskan bahawa kerajaan tidak membenarkan penjawat awam terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.

Acryl berkata kesemua anggota yang terlibat itu dipercayai mengambil dadah secara bersendirian.

Kembara bermotosikal yang berlangsung tiga hari bermula semalam disertai 55 anggota polis trafik.

Mereka akan menjelajah lima daerah iaitu Ipoh, Tanjung Malim, Pengkalan Hulu, Kuala Kangsar dan Manjung dan akan turut beramah mesra dengan penduduk di kawasan terlibat. — Bernama

Advertisement