Anda di sini

Kedai runcit dan kedai 24 jam jadi sasaran perompak

Advertisement

SIBU: Sebuah kedai runcit di Jalan Hulu Sungai Merah menjadi sasaran perompak bersenjata selepas mereka berjaya melarikan wang tunai kira-kira RM3,500 petang Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 6.45 petang, semasa pengadu dan adik perempuannya sedang bekerja di dalam kedai, mereka didatangi dua lelaki yang membawa parang.

Salah seorang daripada perompak mengarahkan mereka berdiam diri jika tidak mahu diapa-apakan manakala seorang lagi lelaki bertindak memotong wayar mesin tunai.

Salah seorang daripada perompak turut bertindak membuka laci dan mencampaknya ke arah pelanggan di situ namun tidak kena pada pelanggan.

Tindakan itu menakutkan pelanggan yang bergegas lari ke bahagian belakang kedai.

Pengadu hanya membiarkan perompak mengambil wang kecil di dalam laci di situ kerana tidak mampu berbuat apa-apa demi keselamatan diri.

Dua perompak tersebut terus keluar dari kedai dan melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Saga (BLM) berwarna putih di mana seorang lagi rakan sedang menunggu.

Menurut saksi, suspek berkulit gelap dan berumur dalam lingkungan 40-an hingga 50-an.

Sementara itu, dua kedai runcit 24 jam turut menjadi sasaran perompak mencari rezeki mudah dalam kejadian berlaku selang sehari sejak 4 April lalu.

Kedai runcit 24 jam terletak di Lanang 2 dimasuki seorang lelaki bertopi keledar dan bercermin mata gelap.

Pembantu kedai sedang bermain telefon bimbit ketika lelaki tidak dikenali itu memasuki kedai dan meminta menyerahkan telefon bimbitnya.

Apabila pembantu kedai enggan memenuhi permintaannya, dia memaksa mangsa untuk menyerah semua wang tunai yang berada di dalam mesin tunai.

Suspek dipercayai membawa pisau namun tidak ditunjukkan kepada mangsa.

Setelah pembantu kedai menyerahkan wang di dalam mesin tunai, suspek terus melarikan diri. Kerugian dianggarkan berjumlah RM3,145.

Dalam kes rompakan kedua, sebuah lagi cawangan kedai runcit 24 jam dimasuki seorang perompak bersenjata parang dan berjaya melarikan wang tunai RM800 di Jalan Kampung Nyabor, di sini jam 6.30 pagi semalam.

Suspek yang tidak dikenali dan memakai topi keledar, memaksa pembantu kedai menyerahkan semua wang tunai di dalam mesin jika tidak nyawanya dalam bahaya.

Bimbang keselamatannya terancam, dia menyerahkan semua wang tunai sebelum suspek melarikan diri.

Semua kes tersebut kini dalam siasatan polis.

Advertisement