Anda di sini

Harga ikan dalam kontrak hospital lebih tinggi daripada pasaran

Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara berpendapat harga bahan makanan basah seperti ikan dalam senarai kontrak di beberapa hospital adalah tidak munasabah kerana lebih tinggi antara 34.4 peratus hingga 100 peratus berbanding harga pasaran.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013, siri 1 dibentangkan di Dewan Rakyat di sini semalam, keadaan itu menyebabkan kerajaan tidak mendapat ‘nilai untuk wang’ kerana terpaksa membayar harga lebih tinggi berbanding pasaran.

Turut dilampirkan perbandingan senarai harga iaitu harga bagi sekilogram ikan siakap untuk kontrak baharu 2012-2014 di Hospital Sultanah Aminah, Johor adalah RM21 berbanding harga pasaran RM14.50 manakala sekilogram sotong bernilai RM16 (pasaran RM9.50).

Semakan di Hospital Kuala Lumpur mendapati harga sekilogram ikan bawal berdasarkan kontrak adalah RM21.50 (pasaran RM16), ikan kerapu RM19.50 (pasaran RM12), ikan nyior RM18 (pasaran RM10) dan ikan keli RM11 (pasaran RM5.50).

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disyorkan merancang perolehan dengan teliti serta memantau harga bahan makanan berbanding harga pasaran supaya kerajaan mendapat ‘nilai terbaik untuk wang’ terhadap setiap perolehan.

KKM menerusi maklum balas yang disertakan dalam laporan audit itu, menjelaskan harga ikan dinyatakan dalam kontrak dua hospital itu telah mengambil kira kos pengangkutan dan kenaikan harga ikan di pasaran.

Selain itu, tinjauan kajian kepuasan pelanggan melibatkan 200 responden mendapati 86 responden (43 peratus) berpendapat menu disediakan tidak dipelbagaikan pada setiap waktu hidangan, dan antara komen diberikan adalah jenis ikan yang sama dan masakan tidak dipelbagaikan.

Kementerian bagaimanapun menjelaskan bahawa jenis ikan yang dihidangkan dalam setiap menu adalah tidak penting kerana mempunyai kandungan makro nutrien hampir sama.

KKM juga bersetuju dengan pendapat laporan audit supaya proses uji rasa makanan perlu dilaksanakan bagi menentukan mutu makanan.

Laporan sama juga men-dapati antara kelemahan yang perlu diperbaiki KKM adalah pengurusan aset yang tidak teratur ekoran terdapat aset bernilai RM0.13 juta tidak digunakan.

Antaranya ialah ‘alat pe-merah santan kelapa’, ‘pe-ngisar daging elektrik’, ‘pemotong ayam’, ‘pengisar cili’ dan ‘cerek 23L’ di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Kedah; ‘alat pemprosesan sayuran’ di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan lapan unit ‘alat pemanas pinggan’ di Hospital Umum Sarawak (HUS).

KKM dalam maklum balas 18 Dis 2013 dan 14 Feb lalu menyatakan HSAH telah menawarkan peralatan yang tidak digunakan kepada hospital lain yang berminat pada 26 Nov lalu, manakala HUS membuat permohonan pelupusan bagi sembilan unit ‘alat pemanas pinggan’ yang tidak digunakan pada 18 Nov lalu sementara HKL mula menggunakan peralatan itu bermula Oktober 2013. — Bernama

Advertisement