Anda di sini

Hanyut akibat kasut

Advertisement

Anggota Bomba dan Penyelamat Keningau mencari mangsa di sekitar tempat kejadian

KENINGAU: Akibat cuba mengambil kasut yang terjatuh ke dalam Sungai Sigapon, seorang remaja lelaki tempatan tergelincir di tebing sebelum dihanyut arus sungai berkenaan, dan kini dikhuatiri lemas.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Keningau Janil Jaya berkata, identiti mangsa yang dikhuatiri lemas berkenaan dikenal pasti sebagai Mohd Sukri Salimin, 13, pelajar Tingkatan 1 di salah sebuah sekolah menengah di sini, berasal dari Kampung Sigapon Keningau.

Katanya, kejadian berlaku pada jam 2.57 petang Ahad lepas di Sungai Sigapon, di mana mangsa dikatakan pergi memancing di situ bersama bapa dan beberapa rakannya.

“Menurut siasatan awal, kita mendapati kejadian berlaku apabila kasut mangsa terjatuh ke dalam sungai lalu dia cuba mengambil kasut itu sebelum dihanyutkan air sungai.

“Bagaimanapun, mangsa dikatakan hilang keseimbangan badannya mengakibatkan dia tercampak ke dalam sungai berkenaan sambil terkapai-kapai sebelum tenggelam sepenuhnya ke dalam air.

“Menurut mereka yang berada di tempat kejadian, mangsa dipercayai lemas dibawa arus sungai berkenaan, dan kini kita sedang dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa,” katanya.

Menurut Janil, tindakan mencari dan menyelamat mangsa tidak membuahkan hasil pada hari pertama selepas kejadian dan usaha berkenaan disambung kelmarin.

Katanya, seramai 12 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Keningau dibantu oleh anggota Unit Scuba dari Balai Bomba Tenom dan Balai Bomba Kota Kinabalu terlibat dalam usaha mencari itu.

Advertisement