Anda di sini

Cari ‘ramuan’ mantap

Advertisement

GABOR GYEPES

ALBERTS

Sarawak akan lakukan rombakan dalam kesebelasan utama

KUCHING: Pusingan kedua Liga Super 2014 menyaksikan Sarawak terpaksa melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama untuk berada pada kedudukan terbaik.

Perkara itu diakui ketua jurulatihnya, Robert Alberts yang berpendapat prestasi kurang memberangsangkan setakat ini memungkinkan beberapa perubahan terpaksa dilakukan.

Menurutnya, ini penting untuk memastikan anak-anak buahnya dapat mempamerkan persembahan hebat seperti yang diharapkan memandangkan pusingan kedua liga merupakan saat genting dan amat mencabar.

“Mungkin beberapa perubahan kecil akan dilakukan untuk memastikan kita dapat mencapai keputusan terbaik dalam pusingan kedua nanti.

“Ini kerana aksi kita kurang konsisten sepanjang pusingan pertama lalu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Setakat ini, Sarawak berada pada kedudukan kelapan liga selepas mengutip 13 mata hasil empat menang, sekali seri dan enam kalah.

Biarpun aksi pusingan kedua lebih mencabar kerana setiap pasukan mahu terus memburu mata, Alberts amat berharap anak-anak buahnya mampu memperagakan prestasi terbaik.

“Saya berharap kita dapat mencapai keputusan lebih baik berbanding pusingan pertama,” ujarnya.

Mengulas mengenai perlawanan pusingan kedua menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini, Alberts berkata, skuad bimbingannya perlu mencuri tiga mata penuh daripada perlawanan itu untuk memperbaiki kedudukan dalam liga.

“Kita memang sedar Terengganu merupakan pasukan yang kuat dan mengalahkan kita (3-1) pada aksi di laman sendiri sebelum ini.

“Namun, saya berharap kita dapat mencuri mata dari gelanggang lawan pada perlawanan Jumaat ini,” katanya.

Perlawanan itu menyaksikan pertahanan kental, Gabor Gyepes kembali beraksi selepas digantung perlawanan sebelum ini.

“Kehadiran Gabor akan memperkuat benteng pertahanan kita,” kata Alberts dengan nada gembira.

Advertisement