Anda di sini

Ketua masyarakat, kaum diingat lebih terbuka dengar cadangan akar umbi

Advertisement

KUCHING: Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong mengingatkan ketua-ketua masyarakat dan kaum agar lebih bersikap terbuka dan bersedia mendengar cadangan yang dikemukakan akar umbi.

Menurutnya, golongan itu tidak harus mementingkan diri sebaliknya perlu bekerjasama dengan penduduk kampung.

“Saya ingin mengingatkan ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum supaya jangan selalu menolak cadangan atau idea penduduk kampung dan hanya menggunakan idea dan cadangan sendiri.

“Kami pemimpin di kalangan ahli politik telah menerima aduan secara bertulis daripada penduduk mengenai ketua kaum yang terlalu keras dan tidak sama sekali menerima cadangan atau idea dikemukakan semasa mereka bermesyuarat dan ini satu peringatan yang saya cuba hendak sampaikan kepada ketua-ketua kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Penyertaan dan Borang Dokumentasi Tanah NCR DBNA Fasa Dua di Dewan Masyarakat Serian kepada 50 kampung di bahagian ini, semalam.

Hadir sama, Presiden DBNA Datu Ik Pahon Joyik, Pegawai Daerah Serian merangkap Pengerusi DBNA Serian Sinde Muling, Setiausaha Politik Ketua Menteri John Davidu Nyauh, Temenggung Bidayuh Samarahan Robert Sulis Ridu dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Dokumentasi NCR Serian Charlie Ungang.

Manyin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu turut menasihati ketua kaum yang tidak disambung penggalnya agar terus menyokong individu yang menggantikan mereka.

Jelasnya, ada kalangan ketua kaum yang merajuk, dan enggan menyokong pengganti apabila penggalnya tidak disambung lagi.

Malah katanya, wakil-wakil rakyat dalam Barisan Nasional (BN) juga perlu akur jika digantikan dengan yang baharu, demi kebaikan masyarakat.

“Jadi saya ingin mengingatkan ketua-ketua kaum supaya berterima kasih kepada penduduk kampung yang selama ini memberi sokongan padu kepada mereka dan apabila mereka digantikan kelak, mereka harus menyokong ketua kaum yang baharu,” katanya.

Advertisement