Anda di sini

Polis tumpas geng remaja, selesaikan 80 kes samun

Advertisement

MELAKA: Polis Melaka menumpaskan Geng Amir yang dianggotai lapan remaja dipercayai aktif melakukan kira-kira 80 kes samun dan ragut di sekitar negeri ini sejak November tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata kesemua remaja itu yang berusia antara 15 dan 18 tahun termasuk seorang pelajar sekolah ditahan di beberapa lokasi di negeri ini pada Rabu lepas.

Beliau berkata tangkapan pertama melibatkan ketua kumpulan yang dikenali sebagai Amir, berusia 15 tahun dan tidak bersekolah, di rumahnya di Padang Temu pada jam 4 petang disusuli penahanan tujuh lagi rakannya di Kandang, Duyong dan Semabok.

“Tangkapan itu hasil maklumat orang awam susulan laporan seorang jurujual wanita berusia 18 tahun yang disamun ketika menaiki motosikal di Taman Melaka Raya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata dalam kejadian jam 10 malam, 13 Mac lepas,  mangsa mendakwa beg tangannya yang mengandungi wang tunai RM1,000, sebuah telefon bimbit, kad pengenalan, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan  kad insurans diragut dua lelaki bermotosikal.

Raja Shahrom berkata berikutan tangkapan itu, polis merampas lima telefon bimbit pelbagai jenis dipercayai milik mangsa samun dan sebuah motosikal Honda EX5 curi serta satu topi keledar daripada anggota kumpulan terbabit.

Menurutnya siasatan awal mendapati kumpulan itu aktif melakukan samun di beberapa lokasi di negeri itu termasuk di Jonker Walk, Taman Melaka Raya, Peringgit, Jalan Bendahara, Jalan Mufti Haji Khalil dan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ).

Dalam kes berasingan, beliau berkata empat lelaki termasuk seorang guru berusia antara 24 dan 33 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket menjual kereta curi di negeri ini.

Polis turut merampas lima kenderaan mewah iaitu dua Toyota Estima dan masing-masing satu Honda Civic, Subaru dan BMW daripada mereka.

Menurutnya tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki termasuk guru terbabit di Peringgit pada 5 petang, 30 Mac lepas dan pihaknya merampas Toyota Estima yang dilaporkan hilang  di Prai, Pulau Pinang tahun lepas.

Seorang pensyarah lelaki berusia 30-an yang membeli  Toyota Estima itu pada harga RM30,000 turut dipanggil membantu siasatan.

“Modus operandinya ialah mencuri kereta dari luar Melaka dan menjualnya di negeri ini dengan harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya. — Bernama

Advertisement