Anda di sini

Masyarakat luar bandar digesa ubah mentaliti, usaha maju diri

Advertisement

MATU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Abu Seman Jahwie menggesa masyarakat luar bandar mengubah mentaliti yang suka berserah kepada takdir, tanpa ada sebarang usaha keluar daripada kongkongan yang membelenggu mereka.

Katanya, sikap yang serupa pada masa kini boleh diperjelaskan atau sama maksud dengan ‘malas berusaha’.

“Sekiranya masyarakat kita terus dibelenggu dengan sikap terbabit dan terlalu bergantung kepada bantuan orang lain pada setiap masa untuk memajukan diri mereka, kita yakin golongan ini melambatkan kemajuan sekali gus terus ketinggalan dalam arus kemajuan.

“Sikap dan pemikiran negatif itu perlu dikikis. Masyarakat hari ini tidak boleh lagi berdiam diri dan menyerahkan kepada takdir semata-mata tetapi perlu berusaha untuk maju.

“Kita perlu meningkatkan usaha bagi menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan dalam menghadapi era globalisasi agar tidak ketinggalan,” katanya pada majlis penyerahan Mesin Jahit kepada Peserta 1AZAM di Kampung Kuala Matu Hilir di bawah Projek NADI Kawasan Jemoreng, semalam.

Abu Seman yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri berkata,  setiap individu tidak boleh berada di takuk lama sebaliknya bersedia berubah daripada segi sosial dan ekonomi.

Pada masa sama, mereka perlu mempunyai semangat ingin berubah daripada tidak baik kepada baik dan menanam azam untuk maju.

“Kepentingan menuntut ilmu perlu diletak sebagai keutamaan. Justeru itu, mereka perlu bersatu padu menghadapi apa juga keadaan dan tidak berbalah sesama sendiri hanya disebabkan perkara yang tidak penting.

“Jika kita berilmu tetapi tidak bersatu, ini juga sukar untuk membina tamadun bangsa. Justeru, kita perlu mengukuh semula hala tuju supaya matlamat membina ummah cemerlang tercapai,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata peluang ditawarkan kerajaan melalui program 1AZAM tidak sepatutnya dilepaskan kerana bukan sahaja bertujuan meningkatkan pendapatan keluarga tetapi mampu mengubah masa depan.

“Ini satu peluang keemasan yang perlu direbut oleh Bumiputera. Program ini juga merupakan antara usaha bagi membimbing bakal usahawan yang mempunyai kesungguhan untuk bergerak maju ke hadapan, “ katanya.

Beliau berharap dengan bantuan yang telah disediakan itu dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya hingga membuahkan hasil seperti diharapkan serta bukan satu tindakan yang hangat-hantat ‘tahi ayam’ atau semata-mata mendapatkan bantuan.

Advertisement