Anda di sini

Malaysia ucap terima kasih atas bantuan segera Vietnam

Advertisement

HANOI: Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Vietnam di atas sokongan dan bantuannya semasa peringkat awal usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Vietnam bersungguh-sungguh membantu Malaysia dengan menggerakkan asetnya dan berkongsi maklumat mengenai kehilangan pesawat itu.

“Malaysia tidak akan berhenti berusaha untuk mengesan pesawat itu dan kami berterima kasih di atas bantuan yang diberi oleh rakan-rakan kami,” katanya dalam sidang akhbar bersama selepas mengadakan mesyuarat dua hala selama sejam dengan rakan sejawatannya, Nguyen Tan Dung di sini, semalam.

Najib, yang tiba di sini dari Perth, Australia kelmarin adalah dalam rangka lawatan tiga hari ke Vietnam. Ini adalah lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak menjadi perdana menteri pada 2009.

Pesawat MH370, yang membawa 239 orang ke Beijing, hilang daripada radar pada 8 Mac ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan antara Malaysia dan Vietnam, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

Pada 24 Mac, Najib mengumumkan laluan penerbangan pesawat itu berakhir di satu kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis terperinci data satelit.

Dalam sidang akhbar sama, Dung menyampaikan ucapan simpati dan perasaan sedih yang amat mendalam beliau kepada kerajaan dan rakyat Malaysia serta keluarga penumpang dan anak kapal pesawat yang hilang itu.

Mengenai mesyuarat dua hala itu, Najib berkata ia merupakan perbincangan yang amat konstruktif dan berhasil serta memberi peluang kepada mereka untuk saling bertukar pendapat mengenai isu penting dua hala dan perkembangan antarabangsa yang penting buat Malaysia dan Vietnam.

Perbincangan itu bertumpu pada kerjasama erat dua hala yang sedang berterusan dan usaha mengeratkan lagi hubungan sedia ada antara kedua-dua negara dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian, pelancongan, pertahanan dan keselamatan serta pendidikan.

Najib berkata Malaysia dan Vietnam sependapat bahawa masanya sudah tiba bagi kedua-dua negara membawa hubungan baik sedia ada ke peringkat yang lebih strategik.

“Dalam hal ini, kami bersetuju untuk menugaskan menteri luar masing-masing menubuhkan sebuah suruhanjaya bersama bagi menyediakan asas dan kandungan yang akan menjadi landasan bagi hubungan baharu itu,” katanya.

Najib berkata Malaysia dan Vietnam juga bersetuju untuk meneroka lebih banyak peluang bagi meningkatkan nilai dan jumlah dagangan serta pelaburan antara kedua-dua negara.

Antara 2010 dan 2013, jumlah dagangan Malaysia dan Vietnam meningkat 67 peratus dan kedua-dua negara menyasarkan jumlah dagangan mencapai AS$11 bilion pada 2015 daripada AS$9 bilion sekarang. — Bernama

Advertisement