Anda di sini

ESSCOM kenal pasti kumpulan culik dua wanita dari resort di Pulau Singgahmata

Advertisement

LAHAD DATU: Kumpulan penculik yang melarikan dua wanita termasuk seorang pelancong warga China dari sebuah resort di Pulau Sing­gahmata, Semporna, Rabu lepas, dipercayai turut terba­bit dalam insiden penculikan di Pulau Pom-Pom dan Pulau Sipadan.

Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata seorang daripada pen­culik itu dipercayai terbabit dalam kes di Pulau Pom-Pom pada tahun lepas manakala bakinya terlibat dengan kes penculikan di Pulau Sipadan pada tahun 2000.

“Kumpulan penculikan un­tuk wang tebusan ini dipercayai aktif dan agresif di selatan Filipina,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Menurut Mohammad, pihaknya juga yakin kedua-dua wanita terbabit sudah dibawa ke selatan Filipina dan ESSCOM sudah mengenal pasti lokasi yang mungkin dijadikan tempat mereka disembunyikan.

Kedua-duanya juga diper­cayai berada dalam keadaan baik, katanya.

Mohammad berkata, pihak ESSCOM juga tidak menolak kemungkinan penglibatan rakyat tempatan yang berasal dari Filipina yang memberi maklumat kepada anggota kumpulan penculik tersebut.

Kelmarin, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dilapor oleh media se­bagai berkata seorang wanita warga China dan seorang pekerja resort rakyat Fili­pina diculik dari Singgahmata Adventures Reef and Resort oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata, dalam kejadian jam 10.30 malam Rabu.

Wanita warga China itu yang juga seorang pelajar dikenal pasti sebagai Gao Hua Yua, 29, dari Shanghai manakala pekerja resort pula dikenali sebagai Marcy Daya­wan atau Mimi, 40.

Resort di atas air dengan 60 bilik yang beroperasi sejak lebih 10 tahun lepas itu berkedudu­kan kira-kira dua batu nautika dari pekan Semporna.

Mohammad juga berkata pada 26 Mac lepas, pasukan keselamatan ESSCOM menge­san lima bot cuba memasuki perairan Semporna, dipercayai untuk melakukan penculikan namun berjaya dipintas oleh pasukan keselamatan.

Mohammad berkata 15 pekerja asing di Singgahmata Adventures Reef and Resort ditahan kerana tidak mempu­nyai dokumen pengenalan diri yang sah. — Bernama

Advertisement