Anda di sini

Misi mencari MH370 masuk hari ke-27, meliputi 223,000km persegi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Operasi mencari pesawat Malaysia yang hilang masuk hari ke-27 semalam, dengan kawasan pencarian meliputi kira-kira 223,000km persegi kira-kira  1,680km di barat laut Perth, Australia.

Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak lapan pesawat dan sembilam kapal akan membantu dalam misi pencarian semalam.

“Sebuah daripada pesawat itu ditugaskan untuk menggugurkan boya penanda datum yang dilengkapi alat khas untuk mengesan lokasi pesawat itu di kawasan pencarian,” menurutnya.

JACC dilancarkan pada 1 April di Perth bagi menyelaraskan operasi mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370.

Menurut kenyataan itu, keadaan cuaca hari ini (semalam) dijangka cerah dengan jarak penglihatan kira-kira 10 kilometer, dan hujan sekejap-sekejap diramal berlaku di kawasan selatan Lautan Hindi.

Menurutnya, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia akan terus memberi tumpuan di kawasan tempat pesawat itu berakhir mengikut analisis teknikal membabitkan pelbagai aspek yang pertama kali dilakukan berdasarkan komunikasi satelit dan prestasi pesawat, yang disalurkan pasukan penyiasat nahas udara antarabangsa terdiri daripada penganalisis dari Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan Australia.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing jam 6.30 pagi hari yang sama.

Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya – selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan – di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth.

Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 ‘berakhir di selatan Lautan Hindi’. — Bernama

Advertisement