Anda di sini

Pembantu rumah cedera diserang lelaki bersenjata pisau

Advertisement

SANDAKAN: Seorang pembantu rumah warga Filipina mengalami kecederaan dipercayai diserang seorang lelaki dengan bersenjatakan pisau dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sentosa Jaya, Batu 3, di sini petang Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Rowell Marong yang mengesahkan kejadian itu berkata ketika kejadian, mangsa yang berumur 32 tahun sedang membersihkan rumah majikannya.

“Tiba-tiba mangsa didatangi seorang lelaki yang mengeluarkan pisau dan terus menikam mangsa. Ekoran itu, mangsa mengalami kecederaan di leher, bahu kiri, perut dan belakang badan.

“Sejurus kejadian, suspek terus melarikan diri bersama senjata pisau yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian mengambil tuala bagi membalut lukanya lalu keluar dari rumah dan menjerit meminta tolong. Kebetulan pengadu, seorang lelaki berumur 49 tahun, berjalan melalui tempat kejadian untuk pergi membeli barang dapur kira-kira jam 5 petang dan mendengar jeritan mangsa.

“Pengadu menghantar mangsa ke wad kecemasan Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurut doktor bertugas kata Rowell, mangsa perlu ditahan di wad untuk pemantauan kecederaannya selama enam jam dan kini berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, punca kejadian masih belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Advertisement