Anda di sini

Impak positif buat Sabah

Advertisement

Mohd Zaki (tengah) memerhatikan Ranjit (kiri) menyerahkan sebilah keris kepada Jalaludin (kanan) sebagai simbolik penyerahan tugas Panglima 5 Briged di Kem Lok Kawi kelmarin.

Penubuhan Divisyen Ke-5 Infantri Malaysia perkasa pertahanan, keselamatan

KOTA KINABALU: Penubuhan Divisyen Ke-5 Infantri Malaysia di Sabah dijangka memberikan impak positif dalam memperkukuh sistem pertahanan dan keselamatan kepada negeri ini.

Panglima Pemerintahan Wilayah Timur (PWT) Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mohktar bagaimanapun berkata, proses penubuhannya dijangka memakan masa setelah mengambil kira faktor penstrukturan semula, penambahan anggota dan sebagainya.

“Untuk menjadikan satu divisyen baharu memang memakan masa terutamanya dalam aspek melengkapkan anggota, peralatan dan sistem persenjataan,” katanya.

“Setakat ini, kita mempunyai sebanyak empat divisyen tentera dengan tiga daripadanya berpusat di Semenanjung manakala satu divisyen merangkumi pentadbiran di Sabah dan Sarawak.

“Sehubungan itu, Tentera Darat sedang merangka untuk mewujudkan satu divisyen baharu di Sabah manakala satu lagi divisyen sedia ada akan diberikan kepada negeri Sarawak,” katanya.

Bagi merealisasikan tujuan berkenaan, Mohd Zaki berkata Task Force 450 yang ditubuhkan bersama Markas Pemerintahan Wilayah Timur (di Sarawak) dan berkuatkuasa pada 1 Mac lepas itu dilihat akan menjadi nukleus atau tunjang kepada penubuhan Divisyen Ke-5 Infantri Malaysia di Sabah kelak.

“Dengan penyusunan semula ini, akan membawa kepada perancangan jangka panjang penubuhan formasi dan pasukan-pasukan baharu di antaranya Briged Sempadan yang akan ditubuhkan kelak bagi mengawasi persempadan daratan kita.

“Kita kini mempunyai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) untuk mengawasi perairan di pantai timur, Tentera Darat turut bercadang menubuhkan Briged Sempadan ini untuk memperkemaskan persempadan daratan di sini dan juga negeri Sarawak,” katanya.

Untuk rekod katanya, jarak persempadanan negeri Sarawak hingga Sabah mencecah kira-kira 2,000 kilometer, empat kali ganda berbanding jarak sempadan di antara Semenanjung Malaysia dan negara jiran Thailand.

“Antara tujuan utama Briged Sempadan ini dilaksanakan adalah memperkukuhkan barisan pertahanan bagi menghadapi sebarang ancaman.

“Keseluruhan persempadan di Sarawak ke Sabah hampir 2,000 kilometer iaitu empat kali ganda jarak sempadan antara Semenanjung Malaysia dan negara Thailand, “katanya.

Beliau menambah, buat masa ini corak pentadbiran Task Force 450 akan beroperasi sepenuhnya di Kem Lok Kawi sementara menanti lokasi baharu yang akan ditetapkan pada masa hadapan.

“5 Briged akan berada di bawah pentadbiran Task Force 450 yang dilancarkan hari ini (kelmarin) manakala lokasi baharu itu akan ditentukan kelak.

“Sementara itu, Task Force 450 ini juga dilihat akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di Sabah terutamanya pasukan Briged Sempadan yang akan mengutamakan orang tempatan.

“Buat masa sekarang juga keanggotaan Task Force 450 ini diambil daripada tiga divisyen di Semenanjung yang mana akan digembleng oleh Mejar Jeneral Datuk Ranjit Sing Ramday,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena Upacara Serah Terima Tugas Panglima 5 Briged di Kem Lok Kawi, dekat sini kelmarin.

Upacara berkenaan menyaksikan Ranjit akan menggalas potfolio baharu sebagai Panglima Task Force 450 sementara jawatannya (Panglima 5 Briged) sebelum ini akan diisi oleh Brigedier Jeneral Jalaludin Manan.

Advertisement