Anda di sini

Rakyat Sarawak dijemput hadiri program SSWOL, dedikasikan kepada MH370

Advertisement

KUCHING: Rakyat Sarawak dijemput menghadiri program Sukarelawan Sarawak Walk Of Love (SSWOL), dedikasi kepada kumpulan kerja mencari dan menyelamat (SAR), ahli keluarga dan mangsa MH370 yang dipercayai hilang di Lautan Hindi sejak 8 Mac lalu.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, pihaknya menggalakkan penyertaan orang ramai dari seluruh negeri bagi program berkenaan sebagai menunjukkan rasa simpati, doa, kata perangsang atau ucapan sokongan emosi terhadap ahli keluarga, mangsa dan kumpulan SAR.

“Orang Sarawak perlu tunjukkan sokongan mereka agar mereka ada kekuatan emosi dan rohani dalam menghadapi masa-masa sukar ini tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku terhadap mangsa.

“Mereka perlu tahu, yang mereka tidak berseorangan, kita bersama mereka dan kita akan terus berdoa agar Tuhan memberi mereka kekuatan dan mesej sokongan dan doa sewaktu melakukan perjalanan sejauh 2.5 kilometer itu nanti.

“Saya merasakan kita sebagai warga Malaysia perlu menunjukkan yang kita benar-benar menyokong usaha kerajaan itu, sedih rasanya mendengar pelbagai desas-desus yang kadang kala tidak benar,” katanya selepas mengadakan sidang media bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak di pejabatnya semalam.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kelab dan individu dijemput sama menyertai program ini yang bertemakan We Care, We Share pada 5 April di Le’Park bermula jam 6.30 pagi.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa isteri Ketua Menteri Puan Sri Jamilah Anu bakal merasmikan upacara melepaskan peserta dan mesyuarat akan diadakan pada Rabu (2 April), jam 2.30 petang di Wisma Wanita.

Wakil NGO boleh hadir untuk mengetahui laluan perjalanan aktiviti yang telah dirancang.

“Kita menggalakkan orang ramai membawa kain rentang dengan kata-kata yang baik menyokong dan menunjukkan simpati kepada kerajaan, keluarga dan mangsa MH370… mesej ucapan buat mereka, kata-kata perangsang,” tambahnya.

Selain itu, beberapa kaunter akan dibuka untuk mengutip tandatangan daripada orang ramai dan ia akan diserahkan kepada Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Beliau juga menyatakan bahawa tahun ini tidak akan diadakan persembahan pentas namun pelbagai aktiviti bagi kanak-kanak akan dijalankan.

Advertisement