Anda di sini

Skuad wushu ikrar buru juara keseluruhan

Advertisement

KUCHING: Sarawak dalam misi memburu juara keseluruhan pada Kejohanan Wushu Remaja Kebangsaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ke-4 yang akan diadakan dari 28-30 Mac 2014 di Stadium Bandaraya Johor Bahru.

Seramai 26 atlet berumur lelaki dan perempuan berumur sembilan hingga 18 tahun akan membawa cabaran negeri bersaing dalam kategori A, B, C dan D.

Mengetuai kont injen Sarawak atlet berusia 13 tahun Fu Wen Jie yang terpilih mewakili negara pada Kejohanan Wushu Remaja Dunia ke-5 yang berlangsung di Turki pada awal bulan ini.

Beliau akan ditemani Yong Arifah Khairul Kok, 15, dan Felicia Ma Hui Qi, 13, yang menampilkan aksi cemerlang pada Kejohanan Wushu Remaja Asia ke-7 di Filipina pada Ogos lalu.

Fu akan bertanding dalam acara changquan, jianshu dan qiangshu bagi kategori Perempuan C.

Manakala Yong Arifah menggalas tugas dalam acara taijiquan dan taijijian Perempuan B.

Felicia hanya menyertai acara changquan dalam kategori Perempuan D.

“Kita tidak menghantar atlet SUKMA atau kebangsaan pada edisi kali ini kerana mahu memberi peluang dan pendedahan kepada muka baharu untuk bersaing di peringkat kebangsaan,” menurut jurulatih Ling Ung Hee.

Jurulatih bagi Pusat Kecemerlangan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) itu berkata semua atlet remaja telah bersedia untuk memberikan cabaran sengit kepada pasukan lain pada temasya kali ini.

Pada tahun lepas, Sarawak berjaya meraih kedudukan kelima dengan enam emas, lapan perak dan 16 gangsa sekali pun tidak menurunkan pasukan terkuat.

Manakala pada edisi 2012, Sarawak menduduki tempat kedua dengan pungutan 13 emas, 15 perak dan 5 gangsa.

Sementara itu, kontinjen Sarawak diketuai Timbalan Presiden Persekutuan Wushu Sarawak (WFS) James Ting mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin di Bangunan Baitulmakmur kelmarin.

Lee yang juga Menteri Muda Komunikasi sempat meluangkan masa memberi kata-kata semangat kepada atlet agar memberikan yang terbaik pada kejohanan itu nanti.

“Sudah menjadi tradisi Sarawak untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam sukan wushu pada Kejohanan SUKMA.

“Saya berharap semua atlet memberikan persembahan terbaik untuk memburu emas dan menjadi juara kebangsaan untuk mengekalkan status kita selaku kuasa dalam sukan ini,” katanya semalam.

Lee juga berharap wushu dapat dipromosi di sekolahsekolah kebangsaan di sini agar dapat melahirkan lebih ramai atlet di masa akan datang.

Justeru, beliau menggesa WFS melebarkan program pembangunan sukan berkenaan di semua sekolah di Sarawak.

Ketika ini, wushu diajar di 78 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri.

 

Advertisement