Anda di sini

11 pesawat, lima kapal dikerah pada hari ke-20 pencarian MH370

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pencarian pesawat Malaysia Airlines kini memasuki hari ke-20 dengan 11 pesawat dan lima kapal dari pelbagai negara dikerah hari ini bagi menjejaki pesawat Boeing 777-200ER itu di perairan berbahaya di selatan Lautan Hindi yang dipercayai lokasi terakhirnya.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam satu kenyataan di sini semalam berkata pencarian dipecahkan kepada dua kawasan dalam zon pencarian yang sama meliputi keluasan 78,000 kilometer persegi.

“Cuaca di kawasan pencarian dijangka merosot lewat hari ini (semalam),” kata kenyataan itu.

Menurut AMSA, dua pesawat AP-3C Orion Tentera Udara Diraja Australia, sebuah pesawat tentera China Ilyushin IL-76, sebuah jet Gulfstream dan pesawat P-3 Orion milik Jepun serta pesawat tentera Amerika Syarikat P-8 Poseidon menyertai operasi semalam.

“Lima pesawat awam dijadual berlepas (dari Perth) antara jam 9.30 dan 11 pagi (sama waktu dengan Malaysia). Sebuah jet Pengawal Pantai Jepun akan berlepas pada jam 2 petang, manakala sebuah P-8 Poseidon milik Amerika dijadual berlepas pada 4 petang. Sebuah P3 Orion milik Jepun akan menyusul pada 5 petang,” kata kenyataan itu.

Kapal tentera laut Australia HMAS Success masih di kawasan pencarian yang berkedudukan kira-kira 2,500 km barat daya Perth itu dan kini disertai empat kapal China iaitu Xue Long, Kunlunshan, Haikou dan Qiandaohu, kata AMSA. — Bernama

Advertisement