Anda di sini

Polis rancang tangani ‘kecelaruan sosial’

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bersempena sambutan Hari Polis Ke-207 hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menimbang beberapa cadangan bagi menangani masalah berkaitan ‘kecelaruan sosial’.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang untuk menjalin kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi mengenal pasti masalah berkenaan.

“Beberapa kajian yang dilakukan di luar negara, mendapati masalah kecelaruan sosial boleh membentuk persepsi negatif kepada masyarakat, sekiranya gangguan sebegini tidak ditangani dengan pantas,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, baru-baru ini.

Katanya sebagai contoh, kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan golongan pengemis yang begitu ramai di sekitar ibu kota boleh mencetuskan keadaan tidak selesa dan menyebabkan masyarakat setempat berasa takut.

“Oleh itu, adalah perlu bagi PDRM mengawal dan mengatur strategi dari awal dengan kerjasama pihak berkuasa termasuk masyarakat dan pihak swasta agar dapat menangani dan mencari penyelesaian kepada masalah ini,” katanya.

Khalid juga berkata PDRM akan sentiasa mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat, di samping meningkatkan keyakinan, kepercayaan dan perasaan hormat orang ramai terhadap pasukan itu.

Katanya, pasukan keselamatan itu akan berganding bahu dengan semua pihak termasuk masyarakat untuk terus kekal sebagai agensi penguat kuasa terulung di negara ini.

“Sepanjang 207 tahun PDRM ditubuhkan, pasukan ini sentiasa mengalakkan kerjasama dan penglibatan setiap lapisan masyarakat bagi membantu polis memerangi jenayah dan lain-lain masalah keselamatan dengan menyalurkan maklumat tepat dan pantas,” katanya.

Khalid memberi jaminan PDRM sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang cabaran pada masa hadapan dengan mengambil langkah-langkah drastik termasuk penambahan anggota.

Katanya, insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013 dan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada 8 Mac lepas, merupakan antara cabaran terbesar yang memberi pengajaran serta menjadikan pasukan keselamatan negara sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Dengan adanya kerjasama ini, sebarang kemungkinan pada masa hadapan termasuk masalah sosial di negara ini dapat dikenal pasti serta mencari penyelesaian, di samping mengurangkan kegusaran masyarakat terhadap kejadian jenayah,” jelas beliau.

Mengulas mengenai kaedah Omnipresence, atau meningkatkan kehadiran anggota PDRM, Khalid berkata orang awam akan yakin dengan keselamatan mereka ketika berada di tempat awam.

Mengenai Unit Rondaan Bermotosikal (URB) pula, beliau berkata kehadiran URB di kawasan perumahan berjaya meredakan kebimbangan penduduk selain mengurangkan kejadian jenayah di sesuatu lokasi.

“Selain menjaga keselamatan orang awam, ia memberi peluang kepada polis untuk berinteraksi dengan masyarakat,” ujarnya.

Mengenai langkah meningkatkan integriti pasukan PDRM, beliau berkata kempen tolak rasuah akan dilaksanakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Institut Integriti Malaysia bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat serta warga polis.

“Kerjasama ini untuk mencari kaedah terbaik bagi menjamin integriti setiap anggota polis,” tegasnya.

Mengenai sambutan Hari Polis ke-207 hari ini, beliau berkata ia bertemakan ‘Komuniti Sejahtera Komitmen Kami’ yang mana PDRM terus memfokuskan usaha berlandaskan tiga aspek utama iaitu ketenteraman awam, jenayah dan integriti. — Bernama

Advertisement