Anda di sini

RM133j untuk kerja tapak lapangan terbang baharu Mukah

Advertisement

TURUN PADANG: Awang Tengah bersama Yussibnosh menunjukkan
poster kempen calon BN semasa melawat Kampung Penakub, Mukah semalam. Turut kelihatan ADUN Jemoreng, Abu Seman Jahwie.

MUKAH: Lapangan ter­bang baharu Mukah bakal diwujudkan selepas kerajaan pusat memperuntukkan dana berjumlah RM133 juta untuk kerja-kerja peringkat awal projek tersebut.

Menteri Perancangan Sum­ber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan mengenai pelaksanaan lapan­gan terbang baharu itu.

“Seperti mana yang telah diumumkan Perdana Menteri, lapangan terbang baharu akan dilaksanakan secara berper­ingkat-peringkat.

“Peringkat pertama ialah kerja-kerja untuk tapak lapan­gan terbang itu. Kontraktor juga telah dilantik,” ujarnya ketika ditemui selepas melawat perkampungan Cina di Kam­pung Penakub bersama calon Barisan Nasional (BN) Yussib­nosh Balo di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Kemudahan Awam berkata sesetengah tempat di kawasan Mukah sering mengalami ma­salah tekanan air rendah.

Beliau menjelaskan, per­mintaaan bekalan air semakin meningkat berikutan kema­juan dan perkembangan pesat di Mukah.

“Kita tahu bahawa di se­setengah tempat di Mukah mengalami masalah tekanan air. Ini disebabkan kemajuan dan perkembangan yang berlaku di Mukah serta per­tambahan penduduk yang menyebabkan tekanan air rendah,” katanya.

Beliau memberitahu, kera­jaan negeri akan berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan menambah baik sistem pengagihan loji perawatan air.

“Kerajaan akan berusaha untuk menangani masalah ini. Saya pasti pihak RECODA se­dang berusaha untuk meminta peruntukan daripada kerajaan pusat kerana Mukah adalah sebahagian daripada kawasan SCORE.

“Jadi, ia menjadi salah satu keutamaan dan masalah ini perlu ditangani bagi menam­bah baik loji perawatan air di sini untuk meningkatkan kapasitinya,” katanya.

Sementara itu, rata-rata penduduk Kampung Penakub yang majoritinya dihuni oleh kaum Cina memberi jaminan akan memberi sokongan padu kepada calon BN.

Kapitan Tay Aik Seng, 63, berkata sejak sekian lama kawasan itu merupakan kubu kuat BN, justeru mereka akan memastikan BN menang besar.

“Kami di sini sudah se­kian lama memilih BN untuk menjadi kerajaan kerana BN dapat membantu rakyat dan memahami keadaan rakyat dan sambutan kami di sini kepada BN boleh dikatakan 90 peratus.

“Saya berharap, jika BN me­nang pada PRK ini saya ingin memohon bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di kampung kami dibaik pulih untuk memudahkan anak-anak di sini,” katanya.

Eong Soon Beng, 61, pula meletakkan harapan yang tinggi agar calon BN menca­pai kemenangan pada PRK nanti kerana beliau inginkan sebuah kerajaan yang mampu memberi bantuan dan prihatin terhadap kebajikan rakyat.

“Saya memang mahu calon BN menang kerana jika calon BN menang kerajaan BN boleh bantu kami penduduk terutamanya dalam soal ke­bajikan kami.

“Jika menang, saya akan cuba memohon untuk mem­baik pulih rumah saya yang sesetengah tempatnya yang sudah buruk,” katanya yang bekerja sebagai buruh.

 

Advertisement