Anda di sini

Skim Pinjaman Rumah Panjang perlu ditambah menjadi RM20,000: Harden

Advertisement

MIRI: Pengerusi PBB Marudi Kaunselor Kalang Jok meminta kerajaan menambah jumlah pinjaman asas daripada RM10,000 kepada RM20,000, dalam Skim Pinjaman Rumah Panjang di bawah Kementerian Perumahan.

Beliau berkata jumlah itu wajar ditingkatkan kerana kos pengangkutan yang tinggi dan menelan belanja hingga 60 peratus, khususnya di kawasan pedalaman seperti Baram.

“Bagi menampung kos pengangkutan sahaja, setiap pintu rumah panjang ada kalanya terpaksa membayar kos pengangkutan sehingga RM6,000, menyebabkan baki pinjaman yang diperuntukkan hanya tinggal RM4,000 bagi membeli bahan-bahan binaan,” ujarnya.

Kalang mendedahkan mengenai perkara tersebut semasa berucap mengalu-alukan kehadiran Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis yang mengadakan lawatan ke Long Jegan, Tanjung Mawan dan Long Tuyut di Bakong, pada Ahad lalu.

Turut mengiringi Harden dalam lawatan tersebut ialah Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri Muran yang juga ADUN Marudi.

Sehubungan itu Kalang mencadangkan agar jumlah itu dipertingkatkan dan turut menyokong seruan yang sama oleh banyak pihak dari seluruh negeri yang meminta kerajaan menaikkan jumlah pinjaman daripada RM10,000 kepada RM20,000, bagi setiap pintu (di rumah panjang).

Seruan yang sama turut dikemukakan oleh Pengerusi Majlis Penasihat 1Malaysia, Sarawak Datuk Joseph Salang Gandum pada Januari lalu.

Sementara itu, Harden dalam ucapannya pada majlis yang sama memberitahu, Kementerian Perumahan di bawah Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg sedang mempertimbangkan permintaan tersebut, selaras dengan maklum balas yang diterima di seluruh negeri.

“Jawatankuasa yang dipilih akan berjumpa pada bulan April depan dan kira-kira 600 permohonan pinjaman rumah panjang akan dipertimbangkan, termasuk tiga permohonan diterima di  Baram ini,” jelas Harden.

Skim pinjaman berjumlah RM10,000 tersebut bukan dalam bentuk wang tunai sebaliknya dalam bentuk bahan-bahan binaan manakala khidmat kontraktor pula dilantik oleh Menteri Perumahan.

Harden yang juga Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar berkata, pinjaman diberikan melalui pembelian bahan-bahan binaan dengan tempoh pembayaran balik sehingga 25 tahun dan maksimum bayaran bulanan ialah RM65.

Sehingga 31 Disember tahun lalu, lebih 500 rumah panjang membabitkan seramai 12,000 isi rumah masih menunggu kelulusan pinjaman mereka.

Advertisement