Anda di sini

Operasi bancian Kg Air bermula Mei

Advertisement

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) merancang untuk melakukan operasi bancian di beberapa perkampungan air sekitar daerah ini pada bulan Mei tahun ini.

Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata, operasi bersepadu itu akan membabitkan pelbagai agensi kerajaan termasuk anggota pertahanan dan keselamatan ESSCOM, Jabatan Perangkaan, Imigresen, Jabatan Pendaftaran dan Pejabat Daerah Lahad Datu.

Sehubungan itu, beliau berkata satu mesyuarat khas akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara itu.

“Pemilihan kampung-kampung air yang bakal dibanci akan diputuskan selepas ESSCOM mengadakan perbincangan dan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk Pejabat Daerah Lahad Datu dan Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu,” katanya.

Mohammad berkata demikian ketika menyampaikan taklimat ESSCOM kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman yang melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat ESSCOM, di sini kelmarin.

Turut hadir Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Abu Bakar Hassan, Pengarah Bahagian Pertahanan ESSCOM Mejar Jeneral Datuk Masrani Parman dan Pengarah Bahagian Awam dan Khidmat Pengurusan ESSCOM Abdul Rahim Ishak.

Mohammad berkata, Lahad Datu adalah satu daripada tiga daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang dipilih sebagai projek perintis program itu.

Sebelum ini, operasi bancian sudah dilancarkan di Mukim Simunul, Mukim Simunul, Semporna dan empat perkampungan air di Sandakan.

Beliau berkata, operasi bancian itu antara lain bertujuan mendapatkan maklumat yang lengkap dan tepat termasuk perangkaan mengenai jumlah kampung, penduduk, keluarga dan demografi warganegara dan bukan warganegara.

“Walaupun operasi bancian itu tidak membabitkan penguatkuasaan undang-undang dan penangkapan, namun kita tidak menolak kemungkinan akan melancarkan operasi membersihkan kawasan perkampungan air itu daripada pendatang tanpa izin (PTI),” katanya.

 

Advertisement