Anda di sini

Bina segera sekolah baharu SK Tanjong, Limbang

Advertisement

LIMBANG: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa membina segera sekolah baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong di sini kerana tapak sekolah sekarang mengalami hakisan tanah yang teruk dan membimbangkan warga sekolah.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata, permohonan untuk membina sekolah di tapak baharu sudah dikemukakan sejak 2009, namun sehingga kini belum ada perkembangan untuk membina sekolah berkenaan.

Beliau yang tidak senang hati dengan perkembangan tersebut mahu pembinaan sekolah itu disegerakan, memandangkan beberapa kawasan sekolah terbabit sudah terhakis dan hampir runtuh.

“Saya memang tidak senang hati dengan perkara ini sekolah baharu SK Tanjong mesti dibina dan takkan menunggu sekolah berkenaan masuk ke sungai (akibat hakisan),” ujarnya ditemui pada program Membara Seminar Kerjaya anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Limbang semalam.

Turut hadir Pegawai JASA Parlimen Limbang Rosmainy Mail, Pegawai Khas Ahli Parlimen Limbang, Mohamad Abu Bakar, Pemanca Alie Jahar dan jemputan lain.

Hasbi berkata, tapak dan tanah untuk pemindahan sekolah baharu sudah disediakan dan pada masa ini hanya menanti pembinaan bangunan sekolah baharu.

Difahamkan, jarak terdekat bangunan sekolah yang terletak di konstituensi Batu Danau itu dengan tebingan sungai hanya lapan meter.

Keadaan air sungai yang deras ditambah dengan musim tengkujuh boleh mengakibatkan banjir dan bangunan sekolah itu mungkin ditelan arus sungai.

“Kita nak tanya KPM bila nak bina sekolah baharu itu,” tegas Hasbi sambil menambah akan menyuarakan masalah itu pada sesi ucapannya di Parlimen minggu ini.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang juga pernah beberapa kali menyuarakan masalah tersebut pada persidangan DUN sebelum ini.

Pada majlis itu, Hasbi mahu golongan lepasan sekolah mengikis budaya hidup macam ‘raja’ sebaliknya lebih berusaha gigih untuk mendapatkan pekerjaan dengan melengkapkan diri dengan pelbagai ke mahiran.

Katanya, persaingan sengit dihadapi oleh mereka sekarang memerlukan golongan tersebut mahir dalam pelbagai bidang dan bukannya terhad kepada keputusan akademik sematamata.

“Elak menjadi orang yang memilih kerja dan nak hidup macam raja, sebaliknya hiduplah mengikut kemampuan dan memiliki kemahiran tertentu untuk mencari kerja,” katanya.

Hasbi menambah, generasi lepasan sekolah juga perlu membuang sikap hanya menunggu tetapi berusaha mencari kerja dengan memanfaatkan kemudahan teknologi seperti Internet untuk mencari pekerjaan.

“Hari ini persaingan sememangnya sengit, kita perlu mempersiap diri dengan pelbagai kemahiran untuk berjaya dan mempunyai pekerjaan,” ujarnya.

Tambah beliau, populasi rakyat Malaysia yang semakin ramai juga antara faktor menyebabkan persaingan ini selain kemasukan pekerja warga asing mengisi kekosongan jawatan di negara ini.

“Anak tempatan perlu mengisi kekosongan pekerjaan dan tidak hanya bergantung kepada pekerja warga asing bagi mengelak duit kita mengalir keluar,” jelasnya.

Katanya, jika rakyat Malaysia sendiri memilih pekerjaan akan menyebabkan kekosongan jawatan lebih banyak diisi warga luar yang berebut mencari rezeki di negara ini.

 

Advertisement