Anda di sini

Lori tangki bawa cecair gas bocor

Advertisement

PUTATAN: Lebih 100 pengguna jalan raya ‘tersangkut’ hampir sejam di Kilometer 6.5 Jalan Putatan selepas tangki sebuah lori yang membawa muatan cecair gas nitrogen, bocor dalam insiden pagi kelmarin.

Kejadian itu berlaku di laluan Putatan-Papar, berhadapan SJK(C) Hwa Siong Putatan, kira-kira jam 7 pagi.

Pemandu dikenali sebagai Patrick, 52, ketika ditemui berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan menuju ke Papar sebelum menyedari ada kepulan asap keluar dari tangki lori berkenaan lalu bertindak memberhentikan kenderaan itu di tepi jalan.

Bimbang insiden buruk berlaku, pemandu terbabit memaklumkan perkara itu kepada majikan dan dua juruteknik syarikat berkenaan digegaskan untuk melakukan pemeriksaan.

Panik dengan kejadian itu, orang ramai yang berada di tempat kejadian kemudiannya meminta bantuan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba Penampang Jamaluddin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi sebelum tiga jentera dengan kekuatan seramai 22 anggota digegaskan ke tempat kejadian.

“Kita turut bertindak mengosongkan laluan ini dengan bantuan daripada pihak polis trafik kira-kira 50 meter.

“Berdasarkan maklumat awal, berlaku kebocoran nitrogen cecair yang mana berbentuk padat jenis cyrogenic dan dipercayai mampu memberi kesan kepada kulit manusia.

“Operasi bomba adalah melepaskan tekanan gas berkenaan sehingga tahap tertentu sehingga keadaan benar-benar selamat untuk orang awam,” katanya ketika ditemui.

JBPM mengambil tempoh sehingga sejam bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi terbabit ditamatkan.

 

Advertisement