Anda di sini

Milorad, Salibasic bakal digugurkan

Advertisement

PANSKAN BADAN: (Dari kanan) David dan Karim bersama pemain lain menjalani latihan ringan sebelum memulakan sesi latihan di Stadium Sarawak semalam.

Kedua-dua pemain itu bakal digantikan sebaik jendela perpindahan pemain dibuka pada 22 Mac ini

KUCHING: Kedudukan penyerang import Sarawak Milorad Janjus dan Muamer Salibasic berada di hujung tanduk setelah keduanya dilaporkan bakal digugurkan jika gagal pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

Pengendali Sarawak, Robert Alberts tidak menolak kemungkinan akan menggantikan kedua-dua pemain itu sebaik jendela perpindahan pemain dibuka pada 22 Mac ini dengan dua pemain baharu telah pun menjalani ujian sejak Isnin lalu.

“Kita tidak menolak kemungkinan akan menggugurkan kedua-dua pemain itu jika mereka masih gagal pulih sepenuhnya dalam masa terdekat,” katanya semalam.

“Ini kerana skuad amat memerlukan penyerang yang benar-benar berkualiti dan mantap untuk meneruskan cabaran dalam saingan Liga Super yang semakin sengit.”

Menurut Alberts, kehilangan kedua tonggak itu akibat kecederaan banyak menjejaskan keputusan Sarawak dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Ia ditambah lagi dengan aksi hambar penyerang dari Iran Alireza Abbasfard yang disifatkannya gagal membantu skuad.

“Kita lihat dulu keadaan mereka dalam tempoh terdekat dan jika mereka masih tidak dapat bermain, kita tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menggantikan kedua-duanya.”

Pada masa sama, Alberts mengesahkan Alireza telah digugurkan dan akan diganti Ryan Alan Griffiths.

“Ryan sah menyertai Sarawak dan beliau akan tiba di sini malam esok (hari ini). Ketika ini kita hanya menunggu untuk mendapatkan sijil perpindahan antarabangsanya (ITC),” katanya.

Menurut Alberts, bekas penyerang Adelaide United itu dijangka dapat diturunkan pada perlawanan menentang Selangor pada 25 Mac ini di Stadium Negeri berjalan dengan lancar.

Pada masa sama, Sarawak turut menguji dua pemain baharu sejak Isnin lalu, Karim Darbaki (21) dari Maghribi dan David Strihavka (31) dari Republick Czech.

“Karim dan David memiliki pakej yang kita perlukan. Namun kita masih menilai keupayaan sebenar kedua pemain sebelum menentukan nasib mereka,” jelas Alberts.

Alberts juga masih menunggu ketibaan dua lagi pemain untuk diuji dari Cameroon dan Lubnan dalam sehari dua lagi.

Sarawak akan melayan kunjungan LionsXII pada Sabtu ini di Stadium Negeri.

Advertisement