Anda di sini

Kem balak, kampung di Ba’Kelalan tumpuan pengedar syabu: Baru

Advertisement

MIRI: Para pekerja di kem-kem pembalakan dan golongan muda di perkampungan sekitar Ba’Kelalan didakwa menjadi sasaran pengedar syabu yang semakin berani dan menular ke kawasan luar bandar di utara negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian (gambar) yang mendedahkan perkara tersebut mendakwa, daripada maklumat yang disalurkan kepada beliau, kira-kira 70 peratus daripada pekerja balak di Lawas dan Ba’Kelalan mengambil dadah jenis syabu, sekali gus menimbul kebimbangan.

“Daripada sumber saya, pengedar-pengedar ini semakin berani dan menjual syabu di kem-kem pembalakan serta kampung-kampung dan beberapa nama telah disebut sebagai pengedar,” kata Baru kepada Utusan Borneo semalam ketika mengulas mengenai masalah syabu yang semakin menular ke luar bandar di Ba’Kelalan.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak terutama ibu bapa dan pihak berkuasa agar mempertingkatkan usaha membanteras gejala syabu yang semakin menular dan lebih berwaspada termasuk dengan orang luar yang tidak dikenali masuk ke kampung serta bergaul dengan anak-anak mereka.

Beliau berkata, ibu bapa, guru-guru, ketua masyarakat, ahli politik dan polis perlu bekerjasama untuk membendung masalah tersebut daripada menjadi penyakit masyarakat yang boleh memusnahkan masa depan khususnya generasi muda, jika tidak dipantau.

Baru memberitahu, semasa mengadakan lawatan berjumpa rakyat di konstituensinya, beliau didedahkan dengan beberapa nama yang disebut-sebut sebagai pengedar di kampung-kampung dan beberapa anak muda yang semakin ketagih.

“Malah, mereka (penagih) tanpa segan silu atau bersembunyi, bertanyakan antara satu sama lain jika mereka ada memiliki pil,” tambahnya.

Baru yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri percaya masalah tersebut tidak terhad di kawasan Ba’Kelalan tetapi juga di sekitar bandar kecil Lawas dan di bandar-bandar lain di utara negeri ini.

Tambahnya, pada bulan November tahun lalu, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing juga mendakwa masalah syabu sedemikian turut menular ke kawasan Sungai Asap, di Belaga.

Sehubungan itu, beliau berharap polis terus memantau keadaan yang menunjukkan trend yang mana syabu bukan sahaja masalah sosial di bandar-bandar, tetapi kini menjadi perkara yang kian dibimbangkan di luar bandar.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Lawas ASP Mutang Dawat ketika dihubungi memberitahu pihak polis sentiasa mengambil berat perkara tersebut dan mereka akan menyiasat mengenai dakwaan yang dianggap serius itu.

Beliau berkata, tindakan susulan akan diambil mengenai isu berkenaan khususnya di kem-kem pembalakan dan kampung-kampung.

Advertisement