Anda di sini

Mayat wanita ditemui dekat sungai ladang kelapa sawit

Advertisement

KES BUNUH: Mayat pekerja wanita warganegara Indonesia tiba di Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

KOTA SAMARAHAN: Mayat seorang wanita ditemui berhampiran sungai di sebuah ladang kelapa sawit di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Samarahan DSP Lee Chong Chern yang mengesahkan kejadian memberitahu, mayat yang ditemui oleh pengawal keselamatan pada jam 4.25 petang itu dikenal pasti sebagai Ela Udin, warganegara Indonesia yang berusia 34 tahun.

Katanya, ada saksi yang mengatakan ternampak seorang lelaki pekerja ladang berada di kawasan tersebut sebelum penemuan itu dibuat.

“Suspek telah dikenal pasti dan polis sedang memburunya. Suspek turut memiliki pasport Indonesia yang sah, namun tidak dapat dipastikan jika dia bekerja di ladang sama,” katanya.

Lee memberitahu, wanita pekerja ladang yang sudah berkahwin itu dikatakan sedang memancing ikan di kawasan tersebut.

“Hasil siasatan di lokasi, polis menemui objek keras yang dipercayai senjata digunakan membunuh mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, motif kejadian belum diketahui.

Kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kedutaan Indonesia juga telah dimaklumkan berhubung perkara ini bagi membolehkan suami mangsa hadir semasa bedah siasat yang dijadualkan diadakan pada Khamis ini,” katanya.

Advertisement