Anda di sini

Lokasi Kuching menarik

Advertisement

TINGKATKAN KERJASAMA: Delegasi Forum Laluan Asia 2014 mengikuti sesi perkongsian maklumat berkaitan laluan penerbangan yang ditawarkan syarikat masing-masing pada hari kedua di BCCK semalam.

Syarikat penerbangan ambil peluang daripada jumlah trafik perniagaan tinggi di kawasannya

KUCHING: Kedudukan bandar raya ini yang strategik dan terletak di tengah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) menjadikannya menarik bagi syarikat penerbangan untuk mengambil kesempatan daripada jumlah trafik perniagaan yang tinggi di dalam kawasannya.

Malah, Kuching terletak dalam lingkungan penerbangan lima jam dari pasaran yang mempunyai lebih satu bilion pelawat dari kota-kota utama di selatan China, Korea, Jepun, Taiwan, Hong Kong dan Asia Tenggara.

Demikian menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Laluan Asia atau Routes Asia 2014 yang menjadikan Kuching sebagai tuan rumah forum terbesar itu, selepas penganjuran Forum Pelancongan ASEAN yang berjaya pada Januari lalu.

“Kejayaan ATF itu membuktikan kepentingan Kuching sebagai ibu kota negeri Sarawak, negeri terbesar di Malaysia dan salah sebuah bandar raya moden yang mudah diakses di seluruh Pulau Borneo.

“Kuching semakin dilihat sebagai menawarkan pengalaman baharu kepada pelawat perniagaan dan percutian dengan infrastrukturnya yang moden digabung dengan fokus yang kuat kepada pengembaraan dengan unsur-unsur kebudayaan dan alam semula jadi.

“Sidang kemuncak ini akan meliputi beberapa isu penting yang menjejaskan rantau Asia dengan perbincangan panel mengenai ‘Masa Depan LCC (syarikat penerbangan tambang murah) di Asia’ dan ‘Pasaran Pelancongan Outbound Baharu’,” kata jurucakap Routes Asia.

Selain itu, satu program Taklimat Syarikat Penerbangan Pertukaran Laluan juga akan dijalankan yang dibuka secara eksklusif kepada pihak berkuasa pelancongan dan lapangan terbang yang mengambil bahagian.

Menyentuh mengenai kepentingan Kuching sebagai sebuah destinasi pelancongan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK)  yang terletak 11 kilometer dari pusat bandar raya, merupakan sebuah daripada empat buah lapangan terbang utama di Sarawak, dengan yang lain di Sibu, Bintulu dan Miri.

“Ia merupakan lapangan terbang ketiga terbesar di Malaysia dari segi jumlah penumpang hampir seramai 4.85 juta orang pada 2013.

“Sektor Kuala Lumpur-Kuching merupakan laluan penerbangan kedua paling sibuk di Malaysia dengan mencatatkan kira-kira 52,000 kerusi seminggu pada 2013,” tambahnya.

Pada masa sama, penerbangan domestik lain adalah dari Sibu, Miri, Bintulu, Mukah, Mulu, Tanjung Manis, Kota Kinabalu, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Dari segi penerbangan antarabangsa, penerbangan ke Kuching juga diadakan dari Singapura, Hong Kong, Brunei dan Pontianak, Indonesia,” jelasnya.

Sehubungan itu, menurutnya lagi, Kementerian Pelancongan Sarawak bekerja rapat dengan Malaysia Airport Holdings Bhd untuk mempromosikan Kuching sebagai sebuah destinasi dan sudah bergabung untuk menganjurkan Routes Asia 2014.

Malah, ia sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk meningkatkan jumlah ketibaan pelawat ke bandar raya ini.

“Badan lain yang menyumbang kepada usaha ini adalah Lembaga Pelancongan Sarawak, Biro Konvensyen Sarawak dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak,” katanya lagi.

Mengulas tentang kemudahan LTAK, ia memiliki infrastruktur dan kemudahan canggih, di dalam kompleks terminal lapangan terbang yang sudah diperluaskan, dengan kawasan lantai sekitar 46,000 meter persegi.

“Infrastruktur yang baharu dinaik taraf dan siap pada 2008 membolehkan KIA untuk mengendalikan pesawat berbadan luas seperti Boeing 747-400 dan Airbus A380-800 tanpa sebarang sekatan.

“Lapangan terbang tersebut memiliki sembilan pangkalan ruang sisi (bay), tiga daripadanya untuk pesawat berbadan luas iaitu B747 dan A380. Landasan penerbangan telah dipanjangkan dari 2,454 meter kepada 3,780 meter, dengan memperluaskan bahu dari 46 meter kepada 60 meter,” ujarnya.

Selain itu, jelasnya, kemudahan LTAK yang cemerlang telah membolehkan lapangan terbang tersebut untuk memenangi pelbagai anugerah seperti status MS ISO 9001:2000 bagi Pengurusan Lapangan Terbang, Operasi dan Penyelenggaraan yang merangkumi khidmat bomba dan menyelamat, keselamatan penerbangan, kejuruteraan dan operasi umum pada 2005.

Antara anugerah lain, Pensijilan Aerodrom daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 2005 dan LTAK juga merupakan lapangan terbang kedua yang menerima pensijilan berprestij itu selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta status ‘Platinum and Star’ oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Syarikat penerbangan yang mengadakan penerbangan ke Kuching, Malaysia Airlines, MASwings, AirAsia dan Malindo Air menyediakan perkhidmatan bagi laluan domestik manakala Malaysia Airlines, MASwings, AirAsia, Silk Air dan Xpress Air menyediakan perkhidmatan bagi laluan antarabangsa.

Advertisement