Anda di sini

Anwar bayar wang jaminan dan fail notis rayuan

Advertisement

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada Jumaat kerana kesalahan meliwat, membayar wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan semalam.

Ketua pembangkang itu menandatangani dokumen ikat jamin di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam.

Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan mengarahkan Anwar membayar ikat jamin itu sebelum jam 11 pagi semalam. Bagaimanapun, Anwar pagi semalammenghadiri pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Ke-13 di Kuala Lumpur dan tiba di Istana Kehakiman kira-kira 12.25 tengah hari.

Anwar, bersama-sama penjaminnya, ketua staf di ibu pejabat PKR Ibrahim Yaacob menemui Darmafikri di biliknya dan urusan itu selesai pada 12.45 tengah hari. Turut hadir abang Anwar, Rosli Ibrahim.

Sementara itu, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Anwar memfailkan notis rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan pada 10 pagi semalam dan menyerahkan salinan dokumen itu kepada Mahkamah Persekutuan.

Ramkarpal Singh berkata, pihak pembelaan mempunyai 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan sebaik menerima alasan penghakiman daripada Mahkamah Rayuan.

Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, ketika kejadian berumur 23 tahun, di Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. — Bernama

Advertisement