Anda di sini

Juruterbang mungkin lakukan ‘air turn back’: Hishammuddin

Advertisement

 

KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam berkata ada kemung­kinan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilapor hilang itu melakukan ‘air turn back’.

Sehubungan itu, beliau berkata operasi mencari dan menyelamat diperluas bagi mengesan pen­erbangan MH370 yang dilapor hilang di perairan Laut China Selatan pada awal pagi Sabtu ke­tika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Menurut terminologi pener­bangan, ‘air turn back’ adalah prosedur pesawat berpatah balik ke lapangan terbang asal akibat pincang tugas atau disyaki pin­cang tugas sebarang peralatan pada pesawat.

Hishammuddin juga menge­sahkan penemuan tumpahan minyak di perairan Vietnam dan pihak berkuasa negara berkenaan sedang berusaha mengesahkan sama ada tumpahan itu berpunca daripada pesawat.

“Saya sahkan memang ada tumpahan minyak tetapi tiada serpihan. Saya dimaklumkan bahawa pesawat Vietnam berada di lokasi sekarang bagi menge­sahkan apa yang sebenarnya di permukaan air itu,” katanya pada sidang media, di sini.

Hishammuddin juga berkata perbincangan lanjut akan di­adakan melibatkan khususnya pegawai Jabatan Penerbangan Awam, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pakar penerbangan.

Penerbangan MAS MH370 yang membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam per­jalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.41 pagi Sabtu. Pe­sawat sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari sama.

Mengenai laporan bahawa empat penumpang menggunakan pasport palsu, Hishammuddin berkata: “Nama keempat-empat penumpang yang didakwa meng­gunakan pasport palsu itu sudah dihantar ke agensi perisikan kita dan antarabangsa.”

Beliau berkata agensi perisikan antarabangsa termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dari Amerika Syarikat bersetuju membantu negara dalam melaku­kan siasatan.

Hishammuddin turut men­egaskan bahawa belum dapat disahkan ada ancaman kes­elamatan dan pihak berkuasa menyiasat senarai semua pe­numpang, bukan hanya empat yang berkenaan.

Pada sidang media sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya mengesahkan tidak ada sebarang komunikasi dilakukan oleh juru­terbang MH370 sebelum pesawat itu hilang pada awal pagi Sabtu. — Bernama

Advertisement