Anda di sini

Pasukan bola sepak Zon Tengah JPJ Negeri tidak pulang hampa

Advertisement

KAPIT: Skuad bola sepak mewakili Zon Tengah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri tidak pulang hampa apabila berjaya menduduki tempat kedua pada Karnival Sukan JPJ di Bintulu.

Skuad bimbingan ketua jurulatihnya, Mohd Saferi Wasli itu tunduk 2-0 di tangan pasukan Zon Utara yang diwakili pemain dari Miri, Bintulu, Limbang dan Lawas pada perlawanan akhir.

Menurut jurucakapnya, meskipun hanya berjaya menduduki tempat kedua pada perlawanan tersebut pasukannya tetap berpuas hati kerana azam untuk menumpaskan juara bertahan, skuad Zon Selatan (Kuching) berjaya.

“Meskipun hanya berada di kedudukan kedua pada saingan bola sepak Karnival Sukan JPJ kami tetap berpuas hati kerana berjaya menumpaskan juara bertahan, skuad JPJ Kuching,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, gelaran juara yang diimpi-impikan oleh pasukan tersebut gagal dirangkul atas faktor rehat yang tidak mencukupi.

“Masa rehat antara perlawanan pertama dan kedua sangat singkat dan berkemungkinan kerana faktor itulah pasukan kami kurang bertenaga pada perlawanan akhir menentang pasukan Zon Utara.

“Namun, saya yakin dan percaya pasukan Zon Tengah akan memberi persembahan lebih baik dan mantap pada kejohanan akan datang,” tambahnya.

Karnival Sukan JPJ Negeri pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu menyaksikan skuad bola sepak Zon Utara merampas juara, diikuti naib juara Zon Tengah (Kapit, Sibu, Sarikei dan Mukah), Zon Selatan (Kuching) di tempat ketiga dan Zon Barat (Serian, Sri Aman dan Betong) tempat keempat.

Kejohanan itu untuk mencungkil bakat kalangan kakitangan serta pegawai JPJ selain mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai-pegawai dari zon berlainan serta kakitangan.

Karnival diadakan setiap dua tahun sekali itu juga bertujuan mempromosi budaya sihat kalangan penjawat awam di negeri ini secara khususnya.

Antara sukan lain yang dipertandingkan sepanjang karnival itu ialah futsal, sepak takraw, pingpong, bola tampar, bola jaring dan badminton.

Dalam acara lain, pasukan Zon Tengah turut memenangi sukan dart apabila muncul naib juara, bola tampar di tempat kedua serta tempat ketiga bagi acara futsal.

Advertisement