Anda di sini

Nazri sasar Malaysia rakan kongsi di Pameran Pelancongan Berlin

Advertisement

BERLIN: Dalam lawatan sulungnya selaku Menteri Pelancongan dan Kebudayaan ke Bursa Pelancongan Antarabangsa (ITB) di sini,Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata beliau akan mengusahakan agar Malaysia menjadi negara rakan kongsi dalam ITB akan datang.

Ini kerana katanya beliau sangat kagum dengan perhatian antarabangsa yang dinikmati oleh sesebuah negara rakan kongsi di pameran itu yang disifatkan sebagai pentas utama dunia dalam mempersembah daya tarikan sesebuah negara bagi memikat pelancong.

“Saya percaya Malaysia mempunyai potensi yang baik untuk menjadi negara rakan kongsi terutama dari segi daya tarikannya sebagai antara destinasi pelancongan popular dunia. Saya akan perjuangkan idea ini apabila pulang ke tanah air,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini.

Katanya semua yang disaksikannya di sini seperti yang beliau harap dan jangka berlaku.

Dengan lebih 180 negara menyertai pameran ITB, Berlin berubah wajah kepada satu pentas pameran gergasi yang mempersembahkan semua aspek industri pelancongan.

Rakan kongsi tahun ini iaitu Mexico serta rakan kongsi ITB tahun lepas, Indonesia, diserlahkan untuk perhatian antarabangsa.

Selain menikmati pelbagai peluang untuk menonjolkan kelebihan mereka di celah-celah kepelbagaian kebudayaan dan kulinari yang dipamer negara lain, rakan kongsi ITB turut menerima faedah yang lebih daripada negara tuan rumah yang dapat dilihat menerusi peningkatan minat perniagaan.

Pempamer dari negara rakan kongsi seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan lain-lain dilapor bukan sahaja menerima pertanyaan yang banyak tetapijuga pertambahan jualan susulan.

Mohamed Nazri yang mengetuai delegasi 59 organisasi selain beberapa exco pelancongan, berkata penyertaan Malaysia kali ini selaku rakan kongsi konvensyen dan kebudayaan amat penting kerana negara sedang menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Jika permohonan untuk menjadi negara rakan kongsi dilakukan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, Malaysia berpeluang dipilih oleh penganjur, MesseBerlin, untuk acara seawal-awalnya 2016 atau 2017. Bagi acara 2015, penganjur sudah memilih Mongolia.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata dengan menjadi negara rakan kongsi ITB, Malaysia dijangka dapat mencapai sasaran 36 juta ketibaan pelawat menjelang 2020.

Pada masa sama, Mohamed Nazri menyambut baik usaha syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa yang akan memulakan lima penerbangan tanpa henti ke Kuala Lumpur setiap minggu. — Bernama

Advertisement