KUCHING: Skuad muda Sarawak mengutip satu mata berharga setelah seri 2-2 menentang Terengganu pada saingan Kumpulan A Piala Presiden di Stadium Negeri semalam.
Tuan rumah yang menurunkan dua pemain Liga Super Daglish Papin Test dan Mohd Zulfadli Awang Marajeh dalam usaha memburu tiga mata penuh bermula baik dengan mengasak kubu lawan sebaik permainan bermula.
Pada minit ke-15, Sarawak mendahului menerusi tandukan cantik Mohd Nazrul Husni yang tidak dikawal pemain pertahanan lawan.
Namun, kegembiraan itu tidak lama apabila giliran Terengganu menjaringkan gol penyamaan hasil rembatan kencang Mohd Faidzol Fazreen pada minit ke-23.
Penyerang lincah itu sekali lagi menjadi duri dalam daging Sarawak dengan gol kedua pada minit ke-57 bagi meletakkan Terengganu di hadapan.
Sarawak dihadiahkan beberapa peluang keemasan pada babak kedua namun ketumpulan jentera serangan terus menggagalkan usaha mereka untuk mencipta jaringan.
Pada minit ke-83, Sarawak dihadiahkan sepakan pen alti setelah penyerang Eugene Thompson dijatuhkan dalam petak penalti.
Mohd Hafis Saperi tidak mensia-siakan peluang itu dengan mudah menewaskan Amierul Hakimi bagi mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-85.
Kedua-dua pasukan mula memperagakan permainan keras dalam usaha mempertahankan kubu masing-masing hingga memaksa pengadil Mohd Azhar Ismail melayangkan beberapa kad kuning kepada pemain Sarawak dan Terengganu.
Pada minit ke-90, pemain Terengganu Muhd Shafiq Azman dilayangkan kad merah setelah melakukan terjahan keras ke atas pemain Sarawak.
Sarawak hampir menambah jaringan pada masa kecederaan namun sepakan percuma yang diambil oleh Hafis sekadar melepasi palang gol Terengganu.
Keputusan itu kekal hingga tamat masa perlawanan.
Setelah melalui lapan perlawanan setakat ini, anak-anak buah Johnny Dominicus hanya meraih empat mata hasil dari satu kemenangan dan sekali seri.