Anda di sini

Musim bubuk lonjak pendapatan nelayan

Advertisement

MIRI: Pendapatan nelayan pesisir bertambah berikutan ketibaaan musim bubuk atau udang geragau sejak pertengahan Februari lalu.

Tinjauan di Kampung Batu Satu, Kuala Baram semalam mendapati kebanyakan nelayan pesisir lebih memberi perhatian terhadap penangkapan bubuk.

“Sekarang adalah musim bubuk dan kebanyakan nelayan biasanya turun ke laut awal pagi untuk menangkap bubuk dan akan dijual antara RM4 hingga RM8 sekilogram,” kata salah seorang penjual bubuk ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, musim bubuk menjadi tumpuan orang awam untuk membuat produk cencaluk, belacan atau udang kering untuk dijual semula atau dijadikan ‘cenderamata’.

“Kebanyakan orang awam termasuk warga Brunei datang ke Miri membeli bubuk untuk dibawa pulang sama ada membuat belacan atau cencaluk,” katanya.

Tambah beliau, musim bubuk antara musim yang dinanti-nantikan nelayan pesisir kerana ia adalah musim untuk mengaut pendapatan tambahan.

“Rata-rata nelayan pesisir di sini menjual bubuk selain ikan kerana permintaan terhadap bubuk sangat tinggi terutama bagi pembuat belacan dan cencaluk,” ujarnya.

Nelayan hanya dikenali Julis Edwin berkata, musim bubuk tidak lama kerana ia hanya berlangsung antara dua hingga tiga minggu sahaja.

“Pada musim ini, nelayan pinggir pantai mampu mengaut pendapatan hingga RM1,000 seminggu dan ia adalah musim yang dinanti-nantikan,” ujarnya.

Menurut Julis, ada kalangan penduduk tempatan bekerja sambilan sebagai nelayan semata-mata untuk menambah pendapatan pada musim bubuk.

“Sekarang bukan hanya Melayu yang menjadi nelayan pinggir pantai, sebaliknya kaum lain seperti Cina dan Iban turut berminat menjadi nelayan terutama pada musim bubuk,” katanya.

Advertisement