Anda di sini

Pendekar Sarawak sedia tempur

Advertisement

SEDIA GEMPUR: Yusnar (duduk tengah) dan Hussien (tiga kanan) serta yang lain bersama pasukan silat SUKMA Sarawak yang bakal menghadapi cabaran pada SUKMA 2014 di Perlis nanti. — Gambar Watt Zacchaeus

Skuad silat letak sasaran raih empat pingat emas pada SUKMA 2014 di Perlis Jun depan

SIBU: Pasukan silat Sarawak meletakkan sasaran awal untuk meraih empat pingat emas pada temasya berprestij – Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 di Perlis Jun depan.

Pengurus pasukan silat Sarawak, Mohd Yusnar Matalie berkata sasaran empat pingat emas itu sekali gus memperbaiki pencapaian pasukan silat kita pada SUKMA 2012 di Pahang.

“Pada SUKMA di Pahang dua tahun lalu, pasukan silat Sarawak memperolehi satu pingat emas dan lima gangsa,” katanya ditemui pada majlis penghargaan peserta silat yang menjalani latihan di Kapit sejak sebulan lalu.

Seramai 27 peserta silat dipilih mewakili pasukan silat SUKMA Sarawak menjalani latihan fasa pertama selama sebulan di Kapit, sebelum mengikuti latihan fasa kedua, ketiga dan keempat di Sarikei bermula hari ini.

Hadir sama ketua jurulatih pasukan silat Sarawak, Hussien Zawawi dan penolong jurulatih, Mohd Fadzil Jamaian.

Menurut Yusnar, bagi mencapai sasaran awal empat pingat emas itu pasukan silat Sarawak telah menjalani latihan intensif di Kapit bermula 29 Januari lalu.

“Dalam latihan fasa pertama ini, peserta menjalani latihan bagi membentuk kecergasan diri terutamanya dari segi mental dan fizikal.

“Kita memilih Kapit kerana keadaan geografinya yang agak berbukit, sekali gus membentuk kekuatan otot dan jantung peserta,” jelasnya.

Yusnar yang turut menjadi pengurus pasukan silat Sarawak pada SUKMA 2010 di Melaka memberitahu, latihan fasa kedua dan seterusnya bermula pada 2 Mac (hari ini) sehingga SUKMA Perlis bermula pada 23 Mei nanti.

“Latihan di Sarikei lebih kepada aspek teknikal selain bagi mengekalkan kecergasan peserta,” katanya sambil menambah peserta yang mewakili pasukan silat Sarawak kali ini dipilih dari seluruh bahagian.

Di samping itu, penyertaan pasukan silat Sarawak pada SUKMA Perlis tahun ini juga menjadi medan ujian serta melihat potensi sebenar pesilat kita bagi menghadapi SUKMA 2016 di Sarawak nanti.

Ini kerana, sebagai tuan rumah SUKMA 2016 pasukan silat Sarawak perlu menyumbangkan sesuatu selain muncul sebagai juara keseluruhan.

“Kita mahu kemenangan ini nanti menjadi hadiah kepada Ketua Menteri baharu, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem memandangkan beliau merupakan penyokong kuat silat negeri ini,” katanya.

Advertisement