Anda di sini

Penagihan air ketum di kalangan pelajar serius

Advertisement

JITRA: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) melahirkan rasa bimbang terhadap masalah ketagihan air ketum yang semakin serius di kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Yang Dipertuanya Datuk Mohd Johari Baharum berkata air ketum ini merupakan pengenalan awal pelajar sekolah untuk terjebak dalam penagihan dadah lain seperti ganja dan syabu yang boleh merosakkan masa depan mereka.

“Saya tidak boleh beri angka tepat pelajar yang terlibat tetapi begitu ramai pelajar yang terlibat dalam penagihan air ketum ini dan yang terbaharu (dikesan) penagihan air ketum ini berlaku di Pulau Pinang dan Ipoh Utara.

“Saya juga dapat aduan daripada pengarah pelajaran negeri di wilayah utara yang turut melahirkan kebimbangan terhadap penagihan air ketum yang boleh mengakibatkan berlakunya pelbagai perkara yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada perasmian penutup karnival mini Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) di Kampung Bemban di sini semalam.

Anggota Parlimen Kubang Pasu itu berkata ketiadaan akta yang mengharamkan penanaman pokok ketum selain tiada penguatkuasaan ketat terhadap aktiviti memproses dan menjual air menyebabkan penjualan air ketum yang dicampur dengan pelbagai bahan dijual secara berleluasa.

Johari berkata sudah tiba masanya kerajaan memikirkan relevannya satu akta pengharaman air ketum dikuatkuasakan seperti Akta Dadah Berbahaya sebagai langkah pencegahan dari peringkat akar umbi.

Katanya di Thailand, kerajaannya telah mengharamkan penjualan air dan daun ketum, dengan pihak berkuasa mengenakan denda kira-kira 500 baht (RM52) bagi setiap helai daun ketum itu terhadap pemilik dan penjual.

Johari berkata denda sebanyak RM10,000 di bawah Akta Racun yang dikenakan terhadap penjual air ketum tidak memadai dengan keuntungan yang diperoleh mereka sekitar RM15,000 sebulan.

Beliau juga turut menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia agar memantau penjualan ubat batuk oleh farmasi di seluruh negara dalam kuantiti yang banyak kepada individu tertentu, kerana ia dipercayai digunakan sebagai bahan tambahan dalam rebusan air ketum. — Bernama

Advertisement