Anda di sini

Penentang buka kampung

Advertisement

PERKUKUH SEKATAN: Kerja membina kem di kampung baharu yang dinamakan sebagai Kampung Operasi Selamatkan Baram sedang giat dijalankan oleh para penentang.

Ia bagi memperkukuh sekatan mereka terhadap pembinaan Empangan Baram

KUCHING: Sekatan Empangan Baram kini memasuki bulan kelima dan kali ini, penduduk asal di situ telah membuka kampung baharu bagi memperkukuhkan sekatan mereka.

Menerusi satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Damn the Dams semalam, kampung baharu itu dinamakan sebagai Kampung Operasi Selamatkan Baram di KM 15.

“Kami berazam untuk melindungi tanah kami daripada dimusnahkan oleh Empangan Baram yang dicadangkan.

“Untuk itu kami telah membuka sebuah kampung baharu untuk dijadikan sebagai pusat tetap pengawasan harian terhadap pencerobohan oleh projek empangan tersebut,” kata jurucakap Damn the Dams.

Kenyataan tersebut menambah, semakin ramai penduduk kampung telah tampil ke hadapan untuk menjadi sukarelawan di kampung baharu berkenaan.

“Kami telah menebang pokok untuk membina struktur kekal dengan bumbung zink, membina kemudahan tandas dan bilik mandi, memasang lampu dan kemudahan telekomunikasi serta memperbesarkan dapur untuk menyediakan makanan kepada sukarelawan dan penyokong yang semakin bertambah bilangannya,” katanya.

Kenyataan tersebut menambah, pada Ahad lalu, penduduk asal di daerah Baram telah berjaya membina sekatan membantah pembinaan Empangan Baram.

“Kami telah menghalau keluar pekerja-pekerja membina empangan dan mengarahkan mereka membawa keluar jentera berat. Sekatan telah dilakukan secara aman,” katanya.

Ia turut menyatakan pendapat bahawa projek Empangan Baram yang dicadangkan merupakan satu bentuk pembunuhan budaya mereka.

“Seramai 20,000 Orang Hulu akan terjejas apabila tanah kami bersama budaya kami akan tenggelam di bawah air.

“Kami penduduk dari Baram akan teruskan sekatan kami,” katanya.

Advertisement