Anda di sini

Pengasas Hope Place Kelvin Wan sampaikan ceramah di SK Lodge

Advertisement

SEBAR AMAL: Kelvin ketika menyampaikan ceramah kepada pelajar SK Lodge baru-baru ini.

KUCHING: Tahun baharu mungkin telah membuka lembaran baharu bagi pertubuhan amal Hope Place apabila pengasasnya, Kelvin Wan dijemput untuk menyampaikan ceramah di Sekolah Kebangsaan (SK) Lodge awal minggu ini.

Bercakap kepada The Borneo Post semalam, Kelvin berkata, kegiatan amal yang dijalankan Hope Place menarik perhatian guru Kelab Bahasa Inggeris sekolah itu, Charlene Sim apabila projek ‘Charity Without Borders’ yang dikelola bersama Kelab Cabaran Pacuan Empat Roda Bintulu disiarkan pada muka depan akhbar itu pada Disember tahun lalu.

“Sejak itu, dia sentiasa menanti berita mengenai kami dan mempamer keratan akhbar pada papan notis untuk dibaca oleh pelajar,” katanya.

Apabila Charlene menjemput beliau untuk memberi ceramah di sekolah terbabit, Kelvin begitu teruja untuk berkongsi mengenai kerjanya bersama murid.

“Saya tidak menyangka bahawa apa yang saya lakukan selama ini mendapat perhatian sekali gus memberi kesan mendalam kepada masyarakat sekeliling.

“Apa yang lebih menggembirakan, mereka turut menjemput saya sekali lagi untuk menyampaikan ceramah kepada pelajar sekolah menengah pula,” katanya.

Kelvin mengambil masa selama 30 minit untuk menyampaikan ceramah itu dan mendapat respons sedih apabila kebanyakan yang mendengar ceramahnya mengalirkan air mata setelah mendengar pengalaman yang dikongsikan.

“Salah seorang pendengar memberitahu saya, mereka tidak menyangka rupanya banyak golongan miskin yang ada di Kuching,” tambahnya.

Pada masa sama, SK Lodge turut mengagihkan sumbangan berupa barangan yang bernilai RM4,100, salah satu projek yang dianjurkan oleh Kumpulan Pengakap Kuching Kedua.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Stampin juga tidak melepas peluang untuk menjemput Kelvin bagi menyampaikan ceramah.

Sekolah di sekitar Kuching yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peranan Hope Place bolehlah menghubungi Kelvin di talian 016-8660711.

Hope Place merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan menyalur bantuan kepada golongan memerlukan seperti barangan keperluan asas yang disumbangkan oleh orang awam yang prihatin.

Hope Place boleh dihubungi di talian 013-5672775 dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada hari Isnin hingga Jumaat.

Advertisement