Anda di sini

Ibu bapa bersyukur anak-anak mendapat bantuan sekolah

Advertisement

BETONG: Jabatan Pendidikan mewujudkan pemberian Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) di bawah program e-Kasih daripada data diluluskan oleh kerajaan negeri.

Bancian dijalankan oleh Pejabat Daerah ke atas keluarga yang dikenal pasti untuk diberi bantuan di bawah program terbabit.

Daripada situ bermulalah pemberian KWAPM menerusi data e-Kasih yang mengiktiraf sebilangan keluarga yang mempunyai anak bersekolah layak menerima bantuan tersebut.

“Dua kategori diiktiraf iaitu miskin menerima bantuan RM450 setahun dan miskin tegar mendapat habuan lebih lumayan iaitu RM700 setahun bagi setiap murid yang layak,” kata Guru Besar SK Muton Debak Fadreen Jingan Beriak pada pemberian KWAPM e-Kasih kepada 13 murid di sekolahnya.

Bantuan diberikan merangkumi bantuan persekolahan RM200 dan bantuan bulanan RM250 untuk kategori miskin manakala RM500 bagi ketegori miskin tegar kepada setiap seorang murid yang layak.

“Daripada jumlah yang diberikan seramai lapan menerima kategori miskin dan lima miskin tegar menjadikan jumlah keseluruhan bantuan disalurkan kepada mereka sebanyak RM7,100,” katanya pada majlis menandatangani borang bantuan ibu bapa murid sekolah terbabit semalam.

Menurutnya, bantuan tersebut dibayar menerusi akaun pelajar bagi mengelakkan berlakunya sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan akauntibiliti sekolah dan mencemar kreadibiliti dan integriti pegawai pengurusan kewangan sekolah.

“Adalah diharapkan ibu bapa yang menerima bantuan ini membelanjakan wang tersebut dengan sebaiknya untuk kegunaan anak-anak mereka bersekolah dan membeli peralatan sekolah anak-anak mereka dengan betul dan memenuhi keperluan pembelajaran mereka,” ujarnya.

Sementara itu, ibu bapa yang menerima bantuan berkenaan berasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan setiap kekurangan rakyat yang memerlukan bantuan seperti itu.

Bagi ibu kepada dua anak, Gandak Douglas Dambu, 41, pemberian bantuan itu akan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh mereka untuk kegunaan persekolahan anak-anak.

“Rezeki anak, Tuhan bagi… Saya bersyukur dan terima kasih kepada kerajaan yang memberi bantuan ini demi pendidikan anak-anak kami,” kata ibu yang sedang mengandung kira-kira tujuh bulan itu.

Sementara itu Chagat Belingan, 56, mewakili cucunya yang baharu sahaja berpindah sekolah dan mengikuti bapanya.

“Walaupun cucu saya baharu sahaja berpindah sekolah, tetapi keprihatinan pihak sekolah menguruskan pemberian bantuan ini kepada kami adalah sesuatu yang kami tidak sangka.

Advertisement