Anda di sini

Balai sementara PGA dikenal pasti di Samalaju

Advertisement

RASMI: Khalid (tengah) menandatangani plak bangunan utama Markas BN12 PGA Miri semasa merasmikan markas tersebut di Miri semalam sambil disaksikan Salleh (dua kiri), Lee dan Antonio (dua kanan) serta pegawai kanan polis yang lain.

MIRI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti sebuah bangunan untuk dijadikan balai  sementara di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu sebagai permulaan sebelum sebuah batalion khas Pasukan Gerakan Am (PGA) diwujudkan di kawasan itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata langkah itu bertujuan meningkatkan aspek keselamatan di taman perindustrian tersebut yang menjadi tumpuan utama pelabur di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Buat permulaan, kita telah mengenal pasti sebuah bangunan untuk dijadikan balai polis sementara di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu.

“Apabila semua infrastruktur mencukupi, PGA akan masuk dahulu. Selepas itu, baharulah satu batalion khas PGA akan ditubuhkan di kawasan tersebut.

“Namun kena ada tanah (tapak) dahulu. Pasukan Polis Marin juga akan ditempatkan di situ,” katanya.

Justeru kini menurut Khalid, pihaknya sedang berunding dengan Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengenal pasti tapak yang sesuai bagi membina infrastruktur menyeluruh untuk menempatkan satu batalion khas PGA di kawasan tersebut.

Beliau memberitahu demikian pada sidang media selepas merasmikan Markas Batalion 12 (BN12) PGA Miri dan Balai Polis Trafik Miri yang bernilai RM300 juta di sini pagi semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Rasid, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner (ACP) Gan Tian Kee dan Residen Miri Antonio Kahti Galis.

Pada Ogos tahun lalu,  Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan merancang untuk membina sebuah balai polis tahap Kelas A di Samalaju dengan anggaran RM14 juta yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk perumahan dan dewan.

Sementara bagi bandar raya Miri kata Khalid, polis akan menyewa sebuah premis di kawasan Desa Senadin untuk dijadikan balai polis sementara.

“Buat sementara waktu, kita akan menyewa premis di Desa Senadin untuk menunjukkan kewujudkan polis selain Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang bakal diperluas ke bandar raya ini,” ujarnya.

Berhubung persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) beliau berkata, Sarawak akan mendapatkan bantuan anggota keselamatan dari Sabah jika perlu.

“Secara keseluruhannya kita sudah bersedia sepenuhnya. PDRM sentiasa siap sedia untuk menghadapi pilihan raya termasuk persiapan menghadapi kemungkinan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti yang diadakan di Kajang, Selangor,” katanya.

Terdahulu, Khalid turut menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 24 anggota BN12 PGA yang terbabit dalam Ops Daulat – operasi mempertahankan Sabah daripada diceroboh penganas Sulu.

Advertisement