Anda di sini

Teruskan usaha cegah penularan wabak denggi

Advertisement

Aktiviti pencegahan termasuk pengasapan di peringkat kampung harus diteruskan secara konsisten: Ali

LIMBANG: Peningkatan kes denggi yang semakin menjadi-jadi di negara ini menimbulkan kebimbangan semua pihak meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk mengawal penularan penyakit berkenaan.

Mungkin juga ramai penduduk yang masih belum sedar tentang bahaya penyakit denggi dan tidak tahu cara untuk menghapuskan nyamuk aedes.

Tidak hairanlah pihak berkuasa termasuk Majlis Daerah Limbang (MDL) dan Jabatan Kesihatan Bahagian sedang giat menjalankan pelbagai program pencegahan dan pendidikan di peringkat akar umbi dalam usaha memberi kesedaran tentang punca dan pencegahan denggi.

Pelaksanaan program pembasmian melibatkan aktiviti pengasapan di kampung-kampung dan kempen-kempen pencegahan yang dilaksanakan sebelum ini masih belum cukup menenangkan perasaan penduduk dalam menangani penularan denggi di daerah ini.

Ketua Masyarakat Melayu/Kedayan Limbang Pemanca Ali Jahar berharap aktiviti pencegahan termasuk pengasapan di peringkat kampung dapat diteruskan secara konsisten.

“Pada masa ini Jabatan Kesihatan Bahagian sedang giat melakukan pemeriksaan dan aktiviti pengasapan di beberapa kampung terpilih dalam menangani penularan denggi.

“Program seperti ini mampu menangani penularan denggi, yang memerlukan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat bagi menjayakan kempen tersebut,” katanya di sini semalam.

Alie menjelaskan lagi, masyarakat hendaklah bersiap sedia dan bersatu padu menjalankan aktiviti pencegahan.

“Kita tidak boleh bergantung kepada usaha kerajaan saja, jawatankuasa antidenggi di peringkat kampung boleh diwujudkan untuk mengawasi masalah denggi di kawasan mereka.

“Selain itu, setiap ketua kaum perlu mengingatkan anak-anak buah mereka agar menjaga kebersihan di kawasan masing-masing dan mengelak air bertakung yang boleh menjadi habitat nyamuk aedes,” ujarnya.

Katanya program gotong-royong yang dilaksanakan penduduk kampung seperti yang dilakukan pada tahun lepas dapat diteruskan tahun ini bagi membendung penularan denggi daripada merebak.

Tindakan pencegahan denggi oleh masyarakat katanya dengan memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes setiap minggu merupakan langkah paling efektif bagi menghindari denggi.

“Masyarakat setempat turut digalak mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran premis dan kediaman masing-masing,” ujarnya.

Jelasnya pencegahan awal perlu dilakukan dan bukannya hanya menunggu berlakunya kes denggi.

“Keadaan bertambah teruk apabila orang ramai bersikap tidak mahu terlibat dalam aktiviti pencegahan dan bertindak lewat terutamanya apabila ada kes denggi berlaku,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Peniaga Bersatu Tedungan Jun Silah berkata aktiviti pengasapan perlu diperluaskan ke peringkat kampung.

Beliau yang juga timbalan pengerusi PBB Batu Danau mahu penduduk kampung termasuk para peniaga di Tedungan membersihkan kawasan persekitaran dan menguruskan pembuangan sampah dengan lebih baik bagi membanteras penularan demam denggi.

“Langkah tersebut penting bagi memastikan kawasan semak dan longgokan sampah- sarap terutama barangan yang menakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dihapuskan.

“Bilangan kes denggi yang semakin meningkat dengan jumlah kematian yang amat membimbangkan, seharusnya memberi kesedaran kepada semua tentang bahaya nyamuk aedes dan kesan persekitaran yang kotor,” ujarnya.

Advertisement