Anda di sini

Taktik Alberts jadi persoalan

Advertisement

PeMAIN KASAR: Perancang Sarawak, Ashri Chuchu rebah selepas dijatuhkan oleh pemain Felda United di luar petak penalti pada aksi kedua suku akhir Piala FA di Stadium Negeri malam kelmarin. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KEMPUNAN: Penyerang Sarawak, Rashid Aya hampa selepas gagal membantu pasukannya untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala FA selepas diikat 2-2 oleh Felda United di Stadium Negeri kelmarin. — Gambar Chimon Upon

Impian Sarawak mara ke peringkat separuh akhir Piala FA musnah hasil ketajaman Zah

KUCHING: Dua jaringan penyerang import Felda United, Zah Rahan Krangar melenyapkan impian Sarawak untuk mara ke separuh akhir Piala FA 2014 setelah kedua-dua pasukan seri 2-2 pada perlawanan suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Negeri kelmarin.

Beraksi di laman sendiri tidak memberi banyak kelebihan buat Ngap Sayot apabila mereka turun tanpa penyerang utama Milorad Janjus, Junior Eldstal dan Zamri Morshidi.

Tuan rumah bagaimanapun berjaya mendahului menerusi jaringan kapten pasukan Joseph Kalang Tie pada minit ke-17.

Pemain itu mudah menolak bola masuk setelah menerima lorongan cantik dari Ronny Harun untuk menewaskan Mohd Farizal Harun.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Felda United mula memperkemaskan permainan dan melancar beberapa serangan berbahaya ke arah gawang Sarawak.

Usaha mereka berhasil apabila Zah yang tidak dikawal dalam petak penalti merembat kencang untuk menewaskan Sani Anuar Kamsani pada minit ke-36 setelah menerima hantaran dari Thanaraj Kumarasamy.

Saingan di babak kedua semakin rancak dengan kedua-dua pasukan saling serang-menyerang untuk mencari jaringan tambahan.

Pada minit ke-76, Gabor Gyepes hampir meletakkan Sarawak di hadapan namun sepakan percumanya berjaya ditepis keluar Farizal.

Sarawak sekali lagi membimbing perlawanan setelah bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang masuk menggantikan Alireza Abbasfard berjaya merembat masuk bola hantaran silang Joseph pada minit ke-80.

Kegembiraan tuan rumah bagaimanapun hanya bertahan selama tiga minit apabila Zah muncul pemusnah dengan jaringan keduanya menerusi sepakan percuma pada minit ke-83.

Keputusan itu kekal hingga tamat masa perlawanan dan Felda United mara ke separuh akhir berdasarkan peraturan jaringan gol di tempat lawan.

Ketua Jurulatih Robert Alberts berkata, faktor keletihan berpunca dari jadual perlawanan yang ketat menjadi penyebab utama pemainnya hilang fokus pada perlawanan tersebut.

Beliau turut kecewa dengan barisan serangannya yang tumpul dan banyak mensia-siakan peluang yang tercipta.

Katanya, ketiadaan beberapa pemain utama turut menyumbang kepada kegagalan pasukannya kelmarin.

“Pemain telah memberikan yang terbaik dan berusaha sedaya upaya bagi memastikan kemenangan milik Sarawak,” katanya kelmarin.

“Namun nasib tidak menyebelahi Sarawak dan kita akur dengan keputusan ini.”

Advertisement