Anda di sini

Rakyat Sarawak bertuah kerana dapat hidup dalam suasana aman, harmoni

Advertisement

KUCHING: Rakyat Sarawak bertuah kerana dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni walaupun dihuni lebih 27 etnik berbeza, kata Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin.

Justeru katanya, sebagai model dalam perpaduan, kita di Sarawak perlu terus menunjukkan kepada dunia bahawa keharmonian dapat dicapai sekiranya rakyat saling bertolak ansur.

“Walaupun kita (Sarawak) menjadi model dalam perpaduan di negara ini, janganlah kita mudah berasa selesa sebaliknya kita teruskan keharmonian, keamanan dan persefahaman yang ada ini.

“Bukan itu sahaja, kita semua harus bersyukur kerana keamanan yang dikecapi hari ini membolehkan kita semua bebas melakukan aktiviti harian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina dan Warga Emas 2014 anjuran Persatuan Hokkien Kuching di Pusat Ekumenikal Kristian Gereja Sarawak di Jalan Stampin di sini, malam kelmarin.

Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Tambah Lee yang juga Menteri Muda Sukan, keharmonian yang dimiliki turut memberikan kesan kepada kerajaan demi memajukan lagi negara ini khususnya dalam bidang ekonomi.

Jelasnya juga, kerajaan sentiasa mencari peluang dan ruang untuk memperbaiki taraf hidup rakyat tidak kira bangsa apa sekalipun termasuk kaum Cina dan ia hanya dapat dilakukan apabila negara berada dalam suasana aman.

“Kita perlu mengekalkan perpaduan dan persefahaman di kalangan rakyat pelbagai kaum kerana ia adalah aset penting bagi menentukan hala tuju negara ke arah negara berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Hokkien Kuching Richard Wee Liang Chiat dalam ucapannya berharap agar masyarakat Cina khasnya Hokkien terus menghormati budaya dan tradisi masyarakat berbilang kaum di sini.

Beliau memberitahu, salah satu contoh keharmonian kaum Cina dan Melayu yang menyerlah di Muara Tebas membuktikan bahawa tiada yang mustahil walaupun berbeza kepercayaan.

“Sebagai contoh, Tokong Ching San di bawah persatuan kita (Persatuan Hokkien Kuching) yang terletak di Kampung Muara Tebas yang rata-rata penduduknya adalah daripada kaum Melayu.

“Tokong tersebut telah dibina beratus tahun dahulu dan sejak itu, kaum Cina dan Melayu tinggal bersama-sama dengan harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain,” jelasnya.

Katanya lagi, tahun ini persatuan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Muara Tebas bekerjasama menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menguruskan lalu lintas dan tempat letak kereta kepada pelancong dan pelawat tokong terbabit.

“Persatuan kami menyediakan pakaian seragam kepada jawatankuasa ini dan semua hasil kutipan tempat letak kereta kami serahkan kepada mereka sendiri untuk meningkatkan kemudahan dan perbelanjaan projek mengindahkan kampung,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa persatuan telah menandatangani usaha sama dengan Bina Puri Berhad diketuai bekas Presiden Persatuan Hokkien Malaysia Tan Sri Tee Hock Seng untuk membangunkan bekas tapak perkuburan terletak di Jalan Rock dan Jalan Baharuddin kepada tempat komersial dan tempat tinggal.

Selain itu jelasnya, mereka juga sedang mengkaji untuk membangunkan projek yang sama di Jalan Tabuan bersebelahan Sekolah Rendah Chung Hua No. 1.

Advertisement