Anda di sini

Pemandu pelancong dilepas, dibebas daripada tuduhan simpan tenggiling

Advertisement

ALOR SETAR: Seorang pemandu pelancong dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam  daripada tiga tuduhan menyimpan 24 ekor tenggiling di Bukit Kayu Hitam, dua tahun lepas.

Hakim Mohd Rosli Osman memutuskan demikian terhadap Mohd Habali Hasan, 34, setelah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu.

Mohd Habali dituduh menyimpan lapan ekor tenggiling hidup dalam keretanya pada kira-kira jam 10 pagi, 16 Okt 2012 di Check Point C, depan Kedai Bebas Cukai Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bukit Kayu Hitam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 68(1)(a) Akta Pemeliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Habali dituduh menyimpan tiga ekor tenggiling tidak matang hidup, manakala bagi pertuduhan ketiga dia dituduh menyimpan 13 ekor tenggiling betina hidup juga dalam keretanya pada waktu dan tempat yang sama.

Mohd Habali didakwa mengikut Seksyen 69(1) Akta Pemeliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya bagi pertuduhan kedua.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 70(1) Akta Pemeliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Nurul Ilyani Mohd Tamam manakala Mohd Habali diwakili peguam G.Ravishankar. — Bernama

Advertisement