Anda di sini

MPP berjaya kurangkan jumlah penduduk miskin tegar

Advertisement

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) pada tahun lepas telah berjaya mengurangkan jumlah penduduk miskin tegar ke tahap maksimum di kawasan seliaannya.

Pengerusinya Lo Khere Chiang berkata rekod membanggakan itu adalah hasil daripada pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Program Pembasmian Miskin Tegar MPP.

Jelas beliau, antaranya ialah bantuan rumah di mana MPP setiap tahun membina tiga dan empat rumah secara percuma untuk mereka yang layak sama ada di bandar mahupun luar bandar.

“Bantuan rumah ini merupakan sokongan MPP terhadap program-program kerajaan bagi membantu golongan memerlukan.

“Sebab itu, ia hanya diberikan kepada orang yang betul-betul layak misalnya miskin tegar atau ibu tunggal,” katanya ketika ditemu bual sempena Majlis Ramah Tamah Tahun Baharu Cina MPP 2014, semalam.

Justeru, Lo berkata pihaknya akan meneruskan bantuan rumah berkenaan pada tahun ini.

“Kami juga amat memerlukan kerjasama daripada ketua masyarakat untuk membantu mengenal pasti orang yang layak.

“Namun, mereka (penerima) haruslah berdaftar dengan e-Kasih dan mempunyai tapak untuk mendirikan rumah,” katanya.

Selain itu, Lo berkata MPP turut menyediakan bantuan gerai makanan kepada golongan miskin tegar yang berminat menjalankan perniagaan tersebut.

Jelasnya, bantuan berkenaan juga diberikan secara percuma kepada penerima yang layak dan permohonan boleh dibuat di ibu pejabat MPP pada bila-bila masa.

“Ini merupakan antara usaha kami membantu meningkatkan standard kehidupan di kalangan miskin tegar.

“Bagaimanapun, kami tidak akan dengan mudah meluluskan sesuatu permohonan melainkan pemohon benar-benar mempunyai kesungguhan untuk melakukan perniagaan tersebut,” katanya.

Inisiatif lain, tambah Lo ialah bantuan mesin jahit khususnya kepada ibu tunggal.

Advertisement