Anda di sini

Mangsa kebakaran Rumah Lichai Pusong terima pelbagai sumbangan

Advertisement

TERIMA KASIH: Penduduk Rumah Lichai merakam kenangan bersama Mauh (tujuh kiri), Chumang (enam kiri), Thomas (lapan kiri), Robert Nanta (tiga kanan) serta yang lain.

SELANGAU: Nasib mangsa kebakaran Rumah Lichai Pusong di Sungai Tepus, Hulu Balingian terus mendapat perhatian pihak yang sudi tampil menghulurkan bantuan, semalam.

Antaranya Komuniti 1Malaysia Selangau dan Komuniti 1Malaysia Sekuau yang masing-masing menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 yang diwakili oleh penyelaras, Stanley Mike Ajah.

Selain itu, Pusat Khidmat Parti Rakyat Sarawak (PRS) Selangau menyerahkan sumbangan sebanyak RM1,600 dan Pemuda PRS Tamin sebanyak RM3,400 yang diwakili Ketua Pemuda PRS Tamin Kusa Buan.

Kawasan Rukun Tetangga Selangau pula menyerahkan sumbangan sebanyak RM300, diikuti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Sigan (RM300).

Kapitan Tiang Kwong Hui menghulurkan sumbangan sebanyak RM320 dan Persatuan Tuai Rumah Kawasan Pelugau menyerahkan sumbangan sebanyak RM500.

Selain itu, mangsa kebakaran Rumah Lichai juga mendapat sumbangan bantuan keperluan harian berupa bekalan beras daripada kontraktor Dali Merawi.

Mangsa kebakaran Rumah Lichai turut diminta mengisi borang permohonan bantuan rumah panjang yang diagihkan oleh wakil Pejabat Daerah Selangau.

Majlis penyampaian sumbangan bantuan telah disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Datuk Joseph Mauh Ikeh.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun, Chumang Nyambong, Pemanca Robert Nanta, Penghulu Thomas Jawa dan Penghulu Michael Jelani.

Dalam kejadian 18 Februari lepas, Rumah Lichai sepanjang 16 pintu yang didiami lebih kurang 96 penduduknya ranap akibat kebakaran yang berlaku kirakira jam 9 pagi.

Advertisement