Anda di sini

‘Makcik RM1’ menjengkelkan

Advertisement

MENGEMIS UNTUK SUAMI?: Lensa Utusan Borneo sempat merakam kelibat ‘Makcik RM1’ yang meminta derma daripada orang awam di restoran-restoran makanan.

Wanita mengemis daripada orang ramai walaupun dipercayai memiliki kereta

MIRI: Tindakan seorang warga emas yang mengemis daripada orang ramai di sini menjengkelkan lebih-lebih lagi wanita berkenaan dipercayai memiliki kereta sendiri.

Utusan Borneo semalam mendapati wanita berkenaan bergiat aktif meminta derma daripada orang awam dengan menyasarkan restoran-restoran makanan yang dikunjungi orang awam.

Lensa Utusan Borneo turut merakamkan tindakan wanita berkenaan yang tanpa segan silu meminta derma RM1 daripada orang awam dengan alasan untuk membayar kos perubatan suaminya.

Wanita warga emas itu yang turut terkenal dengan jolokan ‘Makcik RM1’ turut mendapat perhatian dan kritikan pedas daripada pengguna laman sosial Facebook.

Menurut salah seorang pengadu, wanita berkenaan dipercayai memiliki kereta sendiri bahkan tindakannya mengemis daripada orang awam turut menjadi tanda tanya.

Antara ulasan yang dipetik dalam laman sosial tentang wanita terbabit ialah status kesihatan suaminya dan ketiadaan tindakan daripada agensi berkaitan untuk menyiasat status wanita terbabit.

“Makcik RM1 terbabit sudah menjadi terkenal di Miri dan mengapa tiada agensi berkaitan tampil membantu beliau daripada membiarkannya mengemis RM1 daripada orang awam,” kata pengadu.

Tambah pengadu, alasan yang sering digunakan oleh wanita berkenaan untuk mengemis adalah untuk menampung kos perubatan suaminya yang akan menjalani pembedahan.

“Jika seorang orang awam memberi RM1 dan pendapatan sehari wanita warga emas itu RM300 sehari, maka pendapatan bulanannya adalah RM3,000 sebulan.

“Jika berpendapatan RM3,000 sebulan hanya dengan mengemis, maka tidak mustahil Miri akan dibanjiri golongan pengemis,” kata seorang lagi pengadu.

Tambahnya, wanita berkenaan sihat tubuh dan sepatutnya bekerja untuk menyara keluarga dan bukannya mengemis daripada orang awam.

Wanita berkenaan juga dikatakan memaksa orang awam untuk memberi wang kepadanya tanpa memberi sebarang alasan yang munasabah.

Sehubungan itu katanya, pihak berkaitan harus tampil dan me-nyiasat status wanita itu dengan terperinci kerana tindakan menge-mis di Miri boleh menjejaskan imej bandar peranginan itu.

Advertisement