Anda di sini

130 peserta menyertai Seminar Pengurusan Harta Pusaka

Advertisement

TAHNIAH: Supaih (tiga kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta seminar pengurusan harta pusaka di menara Pehin Setia Raja petang semalam. Turut kelihatan Suhaili (dua kiri).

MUKAH: Seramai 130 peserta telah menyertai Seminar Pengurusan Harta Pusaka anjuran bersama Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) dan Pejabat Residen Bahagian Mukah di Menara Pehin Setia Raja di sini semalam.

Seminar tersebut melibatkan kakitangan kerajaan, ketua kaum dan ketua masyarakat di seluruh bahagian Mukah.

Pemangku Ketua Hakim JKSS Suhaili Ledi memberitahu bahawa seminar tersebut adalah untuk memberi pendedahan dan memfokuskan mengenai pengurusan harta pusaka di Mahkamah Syariah dan agensi lain yang berkaitan iaitu di Pejabat Daerah serta Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

Suhaili memberitahu, penganjur telah menjemput penguasa JTS Bahagian Mukah untuk membentangkan kertas kerja mengenai pengurusan tanah orang yang telah meninggal dunia manakala pegawai daerah Mukah pula menjelaskan mengenai pengurusan program.

“Dengan adanya seminar seperti ini secara langsung kita dapat memahami bahawa setelah berlaku kematian dalam kalangan orang Islam khususnya iaitu sebelum harta pusaka seperti tanah, rumah, wang dan sebagainya dibahagikan kepada ahli waris yang berhak.

“Maka adalah menjadi tanggungjawab ahli waris untuk menyelesaikan terlebih dahulu beberapa perkara yang berkaitan ke atas si mati iaitu belanja pengurusan jenazah, menyelesaikan hutang si mati sama ada hutang dengan Allah SWT atau hutang sesama manusia, menunaikan wasiat jika ada dan tuntutan- tuntutan lain yang berkaitan,” katanya.

Justeru beliau memberitahu, setelah urusan yang berkaitan si mati telah selesai baharulah harta yang ditinggalkan dibahagikan secara atas persetujuan bersama.

Hal ini kerana, hukum memakan harta orang lain tanpa izin adalah haram.

Belia berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penangguhan Seminar Pengurusan Harta Pusaka sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Mukah baru-baru ini.

Suhaili berkata, seminar kali ini adalah untuk mendapat maklum balas dan pandangan pihak peserta mengenai pengurusan yang berkaitan dengan harta pusaka di Mahkamah Syariah, Pejabat Daerah dan JTS.

“Berdasarkan maklum balas dan pandangan tersebut, pihak kami akan mengambil langkah sewajarnya untuk menyelaras aspek-aspek pentadbiran antara agensi berkaitan yang sekaligus dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam sistem perkhidmatan.

“Ini kerana, pelanggan yang berurusan dengan agensi kerajaan inginkan perkhidmatan yang cepat, cekap dan dapat memuaskan hati pelanggan,” katanya.

Turut hadir Residen Bahagian Mukah Supaih Hamdan, Pegawai Daerah Mukah Shafrie Saili, Pegawai Daerah Dalat Yussibnosh Balo, Ketua Pendaftar JKSS Mahiden Sah serta pegawai kerajaan yang lain.

Sijil kepada peserta seminar telah disampaikan oleh Supaih.

Advertisement