Anda di sini

1,000 syarikat pertahanan tempatan, antarabangsa sertai DSA 2014

Advertisement

RAMAH MESRA: Hishammuddin (kiri) berkata sesuatu pada Zulkifeli semasa sidang media mengenai Perkhidmatan Pertahanan DSA 2014 ke-14 di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,000 syarikat industri pertahanan tempatan dan antarabangsa dari 45 negara akan menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan (DSA) 2014 ke-14 di sini, April ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata 27,000 pelawat perdagangan dari 50 negara dijangka menyertai pameran itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini dari 14 hingga 17 April.

“Sebanyak 27 Kumpulan Pavilion Negara termasuk Malaysia dijangka menyertai pameran ini dan Pavilion luar negara yang terbesar adalah Turki dengan penyertaan anggaran 50 syarikat,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan di sini, semalam.

Pameran kali ini melibatkan statik peralatan dan teknologi pertahanan, sistem persenjataan dan penyelesaiaan keselamatan generik terkini untuk memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan pasukan keselamatan negara-negara Asia Pasifik.

“Ia merupakan platform untuk meningkatkan hubungan dua hala dan menggalakkan komitmen yang lebih tinggi ke arah pertahanan global,” katanya.

Pameran yang dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang itu hanya untuk pelawat perdagangan, anggota tentera, pasukan keselamatan, pasukan kadet beruniform, penganalisis serta pemerhati pertahanan dari dalam dan luar negara.

Antara acara yang akan diadakan semasa pameran itu adalah Persidangan Meja Bulat Panglima Tentera Darat, Keselamatan Siber, Forum Putrajaya, Asean Hall dan ‘Battlefield Healthcare’.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Md Zain dalam sidang media sama, berkata kerajaan mempertimbangkan untuk memperluaskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ke Sarawak bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan itu terjamin. — Bernama

Advertisement